- Menurut sebuah kaji selidik yang telah diadakan oleh R8der.my, motosikal Modenas Pulsar NS200 telah didapati menghasilkan jumlah kuasa yang tertinggi pada harga yang terendah.
- Kajian ringkas itu telah dilakukan dengan membahagikan harga motosikal dengan jumlah kuasa kuda yang dihasilkan bagi mendapatkan nisbah “kuasa-ke-Ringgit”.
- Kedua-dua motosikal Pulsar NS200 dan RS200 menduduki tangga teratas senarai berkenaan dengan pemiliknya hanya perlu membelanjakan RM384/hp dan RM472/hp.
Apakah yang akan terjadi sekiranya anda memikirkan kembali mengenai berapa banyak yang anda bayar untuk jumlah kuasa kuda yang ada pada motosikal kesayangan anda? Adakah anda akan berasa kagum dengan jumlah yang anda belanjakan itu, atau pun terkejut dengan kos yang diperlukan untuk sebuah motosikal yang menghasilkan kuasa yang sebesar atau sekecil itu?
Kita ambil contoh skuter Vespa Primavera milik peribadi penulis. Model 2014 milik penulis itu bernilai lebih kurang RM12,000 sebelum pelaksanaan GST dan ianya menghasilkan hampir 12hp ketika masih baru. Jika anda bahagikan harga dengan jumlah kuasa kudanya, penulis secara asasnya membayar RM1,000 untuk satu kuasa kuda pada skuter Primavera berkenaan!
Mari kita ambil contoh yang lebih terkini pula. Motosikal Kawasaki Ninja 650 ABS 2017 telah membuktikan dirinya sebagai motosikal kelas pertengahan yang agak berkebolehan dan selesa, yang didatangkan dengan tanda harga RM37,189 (harga asas beserta GST) yang amat menggiurkan. Bahagikan harga itu dengan 67.3hp, kuasa kuda yang dihasilkan oleh motosikal Ninja 650 ini dan anda akan hanya perlu membayar RM552.58 bagi setiap kuasa kuda!
Mengikut sebuah kaji selidik bebas yang telah dijalankan oleh R8der.my, mereka telah menyenaraikan 25 motosikal berkapasiti kecil paling popular, dari 150cc hingga 250cc, dan mendapati yang motosikal Modenas Pulsar RS200 dan Pulsar NS200 telah menghasilkan jumlah kuasa terbesar untuk setiap Ringgit anda.
Kaji selidik ringkas itu telah diadakan bagi mengenal pasti motosikal yang manakah menghasilkan jumlah kuasa kuda tertinggi pada harga yang terendah. Motosikal Kawasaki Ninja RR150 menduduki tangga teratas senarai ini kerana ia menghasilkan 30hp dan bernilai sekitar RM10,800 dalam pasaran motosikal terpakai semasa pada waktu ini. Ringkasannya, mereka yang memiliki motosikal RR150 ini hanya perlu membayar RM360 untuk setiap kuasa kuda yang dihasilkan motosikal ini, namun, oleh kerana motosikal RR150 ini sudah tidak dijual sebagai motosikal yang baru dalam pasaran, ianya tidak tersenarai dalam perdebatan ini.
Memandangkan yang Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) tidak lagi secara rasminya membawa masuk motosikal RR150 dan harga semasanya ini berkisarkan model terpakai dan model “grey-import” yang ada masanya tidak menentu, motosikal terbaik yang seterusnya adalah motosikal Modenas Pulsar RS200 dan NS200. Dan anda juga boleh dapatkan motosikal ini serba baru.
Kedua-dua motosikal ini menghasilkan 24hp dan apabila dibahagikan dengan harganya pada RM11,342 (RS200) dan RM9,222(NS200), motosikal naked Pulsar NS200 mengungguli nisbah “kuasa-ke-Ringgit” dengan jumlah yang mengagumkan RM384/hp manakala motosikal RS200 juga agak menakjubkan dengan kadar RM472/hp.
Kaji selidik ini juga telah menyertakan motosikal-motosikal yang lain dari Yamaha, Naza, Honda, Benelli, dan pelbagai lagi motosikal dari jenama yang lain. Untuk menyemak keputusan penuh kaji selidik berkenaan, anda boleh lihat pada ‘screenshot’ di bawah, atau layari laman sesawang R8der.my.
Walaupun ianya merupakan satu kaji selidik ringkas yang dijalankan untuk mengenal pasti berapa banyakkah wang yang telah dibelanjakan bagi setiap kuasa kuda yang dihasilkan oleh motosikal-motosikal ini, ianya satu penemuan yang menarik memandangkan yang kedua-dua motosikal Modenas Pulsar bersaudara ini sedang menghuni tempat teratas senarai berkenaan.
Kami telah menunggang uji kedua-dua buah motosikal ini dan sejujurnya, kedua duah buah motosikal ini adalah motosikal yang amat menyeronokkan yang boleh anda miliki pada harga yang amat berpatutan. Untuk membaca kembali ulasan kami tentang kedua-dua motosikal Pulsar RS200 dan NS200, TEKAN SINI.