- Motosikal Honda CB4 Interceptor Concept telah diperkenalkan di Pertunjukan EICMA 2017 di Milan, Itali baru-baru ini.
- Bertemakan “Sport Endurance”, motosikal cafe racer konsep terbaru dari Honda ini melambangkan versi mereka mengenai hala tuju masa hadapan bagi kategori motosikal.
- Terdapat sebuah turbin angin yang telah diterapkan di dalam reraup hadapan yang akan membantu menjana tenaga yang bersih bagi menguasakan skrin sesentuh bersepadu.
Inilah hakikatnya tuan-tuan dan puan-puan. Dunia kini berkisar kepada konsep yang telah dicipta oleh minda-minda yang hebat yang bernasib baik dapat berkongsi idea mereka dengan seluruh dunia. Sesetengah daripada mereka mengambil idea ini dan mempertingkatkannya menjadi karya seni, inovasi teknologikal dan semasa pertunjukan EICMA 2017 di Milan baru-baru ini, antara motosikal konsep yang paling menakjubkan pernah kami saksikan.
Honda telah, dari segi tekniknya, berjaya menyempurnakan idea membangunkan sebuah motosikal konsep sebagai satu seni. Motosikal Honda CB4 Interceptor terbaru mereka itu adalah definisi yang paling tepat yang telah menyebabkan kami berasa teramat teruja dengan harapan yang ianya bakal menjadi sebuah motosikal yang akan dikeluarkan.
Membangunkan lagi idea daripada rekaan motosikal konsep Honda Neo Sports Cafe, motosikal konsep CB4 Interceptor terkini itu tampil dengan daya tarikan yang lebih futuristik, digelar “Sport Endurance”, yang mana ia dengan jayanya telah membuatkan kami berasa teruja serta ingin sekali memiliki motosikal yang amat menggiurkan ini.
Jika diperhatikan dengan lebih teliti pada bahagian reraup hadapannya yang kemas berwarna “Total Black” itu, anda akan mendapati terdapatnya sebuah teknologi hijau yang jarang anda jumpa di atas motosikal. Di tempat yang sepatutnya ada lampu hadapan motosikal ini (yang masih lagi ada di situ), terdapat sebuah turbin angin yang dikatakan akan membantu menjana tenaga yang bersih untuk menguasakan skrin sesentuh bersepadu.
Ciri-ciri penting lain yang ada pada pemapar ini adalah peta digital, boleh membuat panggilan kecemasan, sebuah platform bagi memautkannya dengan telefon pintar anda dan pelbagai lagi perincian yang akan mempertingkatkan lagi pengalaman penunggangan keseluruhan anda.
Tiada sebarang sebaran mengenai spesifikasi enjinnya tetapi, kerana ianya diilhamkan di atas platform motosikal konsep Honda Neo Sports Cafe, kami mengandaikan yang ianya dijana oleh enjin empat selari, 1,000cc jika dilihat pada pancarongga ekzosnya itu. Adakah ia boleh dianggap sebagai sebuah motosikal hibrid memandangkan yang ianya digandingkan dengan turbin angin itu? Kami tidak dapat sahkannya pada saat ini.
Apa yang kami tahu adalah motosikal Honda CB4 Interceptor ini amat licik dan seksi rupanya, Batman pun pasti akan tergila-gilakannya. Kami tidak akan terkejut sekiranya motsikal ini muncul di dalam salah sebuah filemnya. Dan sekiranya hari itu tiba nanti, sudah pasti ianya sebuah promosi yang hebat buat Honda. “Batman, dijana oleh Honda.”