Pertandingan Motosikal Yang Paling Menarik Di Malaysia Baru Sahaja Dilancarkan!

 

Sewaktu dalam keriuhan aksi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini, Modenas Malaysia telah mencuri tumpuan dengan pelancaran Bakat Besi, Sebuah program mencari bakat yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk Rekaan dan Kejuruteraan Motosikal. Program ini bertujuan untuk menawarkan para pembina, mekanik, pelajar serta penggemar motosikal satu peluang bagi menjadikan minat mereka sebagai satu kerjaya melalui Bakat Besi: Peraduan Reka Bina, bahagian pertama bagi program mencari bakat yang akan menggilap pelbagai kemahiran di mana kemahiran yang pertama yang dicari adalah rekaan dan binaan.

Tidak dinafikan yang terdapat banyak orang yang berbakat di Malaysia, yang terpendam menantikan peluang untuk menyerlah, namun, dengan tiadanya peluang untuk melakukannya sama ada di platform tempatan mahu pun antarabangsa, bakat-bakat kekal tersembunyi di seluruh negara dan bakat mereka ini dipersiakan.

” Dengan platform Bakat Besi: Peraduan Reka Bina ini, bakat yang berpotensi dapat mempamerkan kreativiti kejuruteraan dan rekaan mereka, di samping menjana pendapatan buat diri serta keluarga, dan juga menjadi kesinambungan kepada industri motosikal tempatan,” ujar Wazi Hamid, juara perlumbaan motosikal Cub Prix veteran dan juga perintis dalam industri motosikal di Malaysia.

“Bakat Besi: Peraduan Reka Bina ini barangkali peraduan motosikal yang terbaik yang memberikan warganegara Malaysia yang berbakat satu peluang untuk menjadikan kebolehan mereka satu kerjaya. Di dalam industri ini, kita telah saksikan bagaimana bakat-bakat ini disalahgunakan untuk perlumbaan haram dan kegiatian jenayah dan tiadanya platform yang sesuai yang dapat membolehkan bakat-bakat muda ini untuk meneroka kemungkinan sebuah kerjaya professional,” kata Keshy Dhillon, Editor Urusan Moto Malaya dan Bikes Republic yang hadir sebagai KOL untuk program berkenaan.

Walaupun tidak terdapat statistik yang telah dibuat mengenai perlumbaan jalan raya haram, akhbar New Straits Times telah melaporkan yang kira-kira 2,837 orang pelumba haram telah ditahan dari tahun 2003 hingga tahun 2007. Ini tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan, jadi, angkanya dijangkakan lebih tinggi lagi. Terdapatnya satu laporan pada dua tahun yang lalu yang mengatakan dalam usaha untuk mengawal perlumbaan motosikal haram, kerajaan bersedia untuk memberikan Mat-Mat Rempit ini satu peluang untuk berlumba di jalan raya Kuala Lumpur, secara sah. Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa idea di sebalik perlumbaan yang dianjurkan ini adalah untuk menangani masalah perlumbaan motosikal haram yang semakin menular.

“Kami inginkan komuniti motosikal untuk bukan sahaja menjadi pemangkin sosial tetapi untuk turut menyumbang kepada janaan ekonomi ketika peluang dalam industri ini sedang pesat membangun. Jika ianya dilakukan secara sistematik ia akan menjana perusahaan baru yang akan menarik minat golongan muda, mengurangkan masalah sosial dan pengangguran, mengambil pelumba haram ini dan meletakkan mereka di Kajian & Pembangunan, pengeluaran dan pemasaran. Bakat Besi adalah program ‘kick starter‘ yang mampu mencapainya,” tambah Amiruddin Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Malaysia (di atas) sewaktu pelancaran itu.

Bakat Besi: Peraduan Reka Bina ini bakal membina sebuah platform bagi bakat-bakat ini untuk mengenal pasti, membina, dan menggilap kemahiran mereka dalam rekaan dan kejuruteraan motosikal serta membuka ruang untuk mereka di dalam industri automotif Malaysia yang sedang pesat membangun.

Pertandingan ini akan dibahagikan kepada dua buah kategori, di mana kategori pertama adalah ‘Bina Sifu’, mengumpulkan 12 pembina utama di Malaysia bagi mengkhususkan serta mengubahsuai motosikal yang akan dibekalkan oleh penaja utama Bakat Besi: Peraduan Reka Bina – Modenas, yang akan menaja rangkaian motosikal jalan raya terbaru mereka, V15, Pulsar RS200 dan NS200.

12 orang pembina ini akan dibahagikan kepada enam pasukan, dan setiap pasukan akan terdiri daripada seorang pembina dan seorang pengubahsuai.Setiap pasukan akan diberikan bajet sebanyak RM10,000 dan penyertaan mereka akan dinilai berdasarkan estetik, prestasi, dan nilai komersial motosikal. Pemenangnya akan menerima hadiah wang tunai, sebuah motosikal Modenas baru, dan sebuah kontrak pengeluaran.

Kategori kedua pula dinamakan ‘Reka Sifu’, yang merupakan pertandingan reka bina di mana para peserta perlu menghantar konsep reka bina sebuah motosikal Modenas atau stiker rekaan (livery). Ke semua peserta akan diadili oleh panel hakim dan juga oleh orang ramai secara digital melalui platform media sosial.

Pertandingan ini akan dirakamkan, memberikan kepada orang ramai paparan eksklusif bagaimana para pembina ini mereka dan membina motosikal jalan raya mereka, menawarkan sudut pandangan yang belum pernah dilihat bagi pertandingan yang unik ini. Siri sembilan episod itu bakal ditayangkan di saluran YouTube rasmi Modenas. Panel penghakiman untuk peraduan ini bertanggungjawab ke atas enam puluh peratus daripada jumlah pemarkahan. Dengan itu, orang ramai dapat mengundi motosikal yang diubahsuai pilihan mereka dari segi reka bina dan prestasi, dan berpeluang memenangi motosikal Modenas dalam proses itu.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai peraduan ini, sila layari www.r8der.my dan ikuti Bakat Besi: Peraduan Reka Bina di Laman Facebook R8DER.

Saksikanlah video di bawah untuk maklumat lanjut mengenai Bakat Besi!

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]