Miguel Oliveira Memenangi Perlumbaan Moto2 Pertama Bagi Pasukan KTM

 

  • Miguel Oliveira telah memenangi perlumbaan Moto2 pertama bagi pasukan KTM di GP Australia.
  • Teman sepasukannya, Brad Binder, memperoleh penamat di atas podiumnya yang pertama di tempat ke-dua.
  • Tahun ini merupakan tahun pertama pasukan KTM dalam kelas Moto2.

Miguel Oliveira dan Brad Binder telah berjaya mendapatkan dua tempat teratas di atas podium dalam perlumbaan Moto2 di GP Australia pada hujung minggu lalu, sekaligus memahatkan nama mereka dalam rekod sejarah KTM.

Oliveira telah mendahului perlumbaan sebaik sahaja lampu hijau dinyalakan dan tidak sekalipun pernah digugat, sehinggakan dia mampu menjarakkan dirinya sejauh enam saat di hadapan pada satu ketika. Binder mengekorinya di tempat ke-dua namun lambat laun telah dirapati oleh pendahulu kejohanan, Franco Morbidelli. Kedua-dua mereka bersaing sengit, bertukar-tukar posisi dengan beberapa cubaan yang agresif sehinggalah bendera dikibarkan, menamatkan perlumbaan akibat hujan yang lebat. Binder berjaya mengekang kemaraan Morbidelli bagi merangkul penamat podiumnya yang pertama dalam Moto2 pada tahun pertamanya dalam kelas pertengahan ini.

Brad Binder yang diekori rapat oleh Franco Morbidelli , GP Australia 2017

Pengeluar dari Austria itu telah memutuskan untuk bertanding dalam kelas Moto2 dan juga MotoGP bermula tahun ini (2017). Di mana Pol Espargaro dan Bradley Smith telah berjaya mendapatkan kedudukan di pertengahan kumpulan yang memberangsangkan di atas jentera RC16 dalam MotoGP, ianya adalah Miguel Oliveira yang berjaya mencipta sejarah dengan kemenangan Moto2 pertama buat dirinya.

Oliveira, Binder, bersama dengan pasukan KTM Moto2 di Australia

Sebelum GP Australia ini, Oliveira telah berjaya mengemudi jentera KTM Moto2-nya itu bagi mendapatkan enam penamat atas podium dalam tahun pertamanya di kelas pertengahan ini. Malah, usaha pasukan Moto2 KTM ini bermula dengan cemerlang sekali apabila penunggang kelahiran Portugal berkenaan telah berjaya menamatkan perlumbaannya di tempat ke-empat pada perlumbaan pertama tahun ini di Qatar, diikuti dengan tempat ke-dua di Argentina. Dia sekali lagi berjaya berada di atas podium di Jerez, Sepanyol. Lebih banyak penamat di atas podium menjadi miliknya di Catalunya, Jerman, Republik Czech, dan Aragon.

Dalam enam belas perlumbaan sebelum perlumbaan hujung minggu lalu, Oliveira menamatkan perlumbaannya di luar kedudukan sepuluh teratas sekali sahaja di Perancis, selain daripada dua persaraan di Austria dan San Marino. Dia juga telah berjaya mendapat dua petak pertama sewaktu itu.

Bagi Brad Binder pula, dia merupakan juara dunia Moto3 2016, sebelum berpindah kelas untuk bersama dengan pasukan Red Bull Ajo Moto2 bagi
bekerjasama dengan Oliveira untuk tahun ini. Para peminat sudah pasti akan mengingati dua kemenangan Binder di mana dia bermula dari petak terakhir di atas grid!

Walaupun dengan permulaan yang agak sukar untuk musim ini beserta dengan kecederaan, penunggang dari Afrika Selatan itu telah menunjukkan kemajuan sejak Pusingan 11 di Austria.

Menamatkan perlumbaan di tempat ke-tujuh di Austria, Binder telah berjaya mendapatkan tempat ke-sembilan di Great Britain, ke-empat di San Marino, ke-lima di Aragon, bersara dari perlumbaan di Jepun, dan tepat ke-dua di Australia hujung minggu lalu.

Dengan hanya berbakikan dua pusingan lagi dalam kejohanan Moto2 2017, Miguel Oliveira kini berada di anak tangga ke-tiga kejohanan dengan 191 mata, manakala Brad Binder pula berada di anak tangga ke-sepuluh dengan 89 mata.

Sumber gambar: KTM

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]