- Beberapa buah gambar motosikal Honda Gold Wing 2018 yang baru yang dibocorkan telah tersebar di beberapa buah platform media sosial sejak beberapa hari yang lalu.
- Tampaknya Honda Gold Wing 2018 yang baru ini telah menjalani pengemaskinian yang besar pada bahagian luaran dan dalamannya.
- Perubahan terbesar yang dapat dilihat daripada gambar-gambar berkenaan adalah sistem suspensi bahagian hadapan yang baru yang mana memiliki beberapa persamaan dengan rangkaian motosikal BMW K 1600.
Baru sahaja beberapa minggu yang lalu Honda telah mendedahkan sebuah video usikan yang amat menggiurkan dengan slogan “What Lies Beyond”. Kini, nampaknya sudah ada beberapa buah gambar motosikal Honda Gold Wing 2018 yang baru telah dibocorkan di beberapa buah platform media sosial.
Dalam video usikannya itu, Honda mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan sesuatu yang amat menggiurkan pada 24 Oktober 2017 yang bakal tiba nanti. Walau bagaimanapun, seseorang yang berada dalam industri permotoran telah berjaya mendapatkan beberapa risalah atau kit akhbar Honda 2018 yang baru dan memutuskan untuk mendedahkannya ke seluruh dunia sebelum kemunculan rasminya.
Dalam gambar-gambar yang telah tersebar itu, kita dapat lihat yang Honda Gold Wing 2018 yang baru ini telah menjalani pengemaskinian imej yang ketara dengan pelbagai garisan dan penggayaan moden bagi menjadikannya lebih terkini dan diminati oleh pengguna motosikal masa kini.
Panel meter yang teramat modennya itu telah melalui satu evolusi dengan rupa paras yaang moden dan gugusan instrumen yang dipanjangkan sehingga ke tangki bahanapi. Kami tidak benar-benar pasti mengenai jenis paparan yang digunakan tetapi dari rupanya sahaja, ia mungkin sekali paparan TFT LCD. Satu sentuhan yang cukup baik sekali.
Bagi menjana motosikal ini, Honda Gold Wing 2018 ini dikatakan menggunakan enjin 1,800cc ‘flat-six’ yang sama dengan pilihan untuk Transmisi Dwi Klac (Dual Clutch Transmission – DCT) Honda. Dan oleh kerana ianya model 2018, enjinnya serta sekeliling casisnya akan menjalani pengemaskinian yang besar juga.
Perubahan terbesar yang dapat kami lihat pada Honda Gold Wing 2018 yang baru ini adalah sistem pakej suspensi bahagian hadapannya di mana ia kelihatan seperti mempunyai beberapa persamaan dengan yang digunakan pada motosikal besar BMW. Suspensi ala ‘girder‘ telah dipilih kerana ia membekalkan lebih stabiliti untuk motosikal yang lebih besar dan lebih berat berbanding dengan fork teleskopik tradisional.
Selain itu, tiada apa yang dapat kami katakan dengan pasti mengenai motosikal Honda Gold Wing 2018 yang baru ini. Dari rupa parasnya sahaja, kami sudah amat menyukainya dan tidak sabar menunggu tarikh 24 Oktober 2017 untuk tiba. Teruskan kekal setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran.
https://youtu.be/9H8GNPYbGTw
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai video usikan “What Lies Beyond” Honda, TEKAN SINI.