MotoGP: Valentino Rossi AKAN CUBA Untuk Berlumba Di Aragon Pada Hujung Minggu Ini

  • Juara Dunia sembilan kali MotoGP, Valentino Rossi (Movistar Yamaha), akan cuba untuk bersaing pada hujung minggu ini di pusingan ke-14 di Aragon, Sepanyol.
  • Penunggang berusia 38 tahun dari Itali itu telah mendapat keputusan yang amat positif sesudah menjalani penilaian kecergasan di atas jentera Yamaha YZF-R1M di litar Misano World Circuit beberapa hari yang lalu.
  • Selepas hanya tiga minggu sejak dia mengalami kecederaan patah kaki, Rossi perlu meyakinkan para pegawai perubatan serta pegawai MotoGP jika dia merancang untuk menyertai semula persaingan gelaran MotoGP 2017 pada hari Ahad ini.


Teori kita mengenai pelumba motosikal sekali terbukti benar, tuan-tuan dan puan-puan. Mereka ini memang GILA-GILA. Kami telah mendapat maklumat bahawa penunggang Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi akan cuba untuk menunggang jentera perlumbaannya, Yamaha YZF-M1 pada pusingan ke-14 MotoGP di Aragon, Sepanyol pada hujung minggu ini.

Seperti mana yang kita sudah sedia maklum, terutamanya bagi para peminat Rossi di seluruh dunia, “The Doctor” telah terlibat dalam satu kemalangan semasa latihan enduro yang mengakibatkan kecederaan keretakan berganda pada kaki kanannya. Ianya baru sahaja memasuki hari ke-21 dan dalam tempoh masa itu, penunggang berusia 38 tahun dari Itali itu telah menjalani pembedahan DAN menunggang sebuah motosikal Yamaha YZF-R1M di litar Misano World Circuit Simoncelli bagi menentukan tahap kecergasannya.

Sumber imej: MCN

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sesi kecergasannya di atas jentera Yamaha YZF-R1M itu, TEKAN SINI.

Kini, dia menyatakan yang dia akan cuba untuk bertanding di pusingan MotoGP pada hujung minggu ini di Aragon selepas terpaksa berehat pada pusingan yang lalu di Misano di mana penunggang Repsol Honda, Marc Marquez memenangi perlumbaan dalam cuaca basah itu. Juara Dunia sembilan kali ini akan menghadirkan diri di Aragon, tetapi, ianya bukan mudah baginya untuk menyertai pusingan ini kerana dia masih perlu melepasi beberapa halangan sebelum dia dibenarkan untuk bertanding pada hari Ahad yang akan datang.

Pertama sekali, dia perlu meyakinkan keseluruhan pegawai MotoGP dan juga pegawai perubatan yang dia mampu berdiri dan jika perlu, melompat
menggunakan kakinya yang telah tercedera itu, bagi membuktikan yang dia sudah pulih. Diingatkan sekali lagi dia mengalami kecederaan itu hanya 20 hari yang lalu. KERETAKAN BERGANDA.

Jika pun dia mampu meyakinkan ke semua mereka yang kecederaannya telah pulih secukupnya untuk dia berlumba, Rossi masih perlu menghadapi segala tekanan fizikal dan mental sewaktu mengemudi salah sebuah motosikal perlumbaan yang paling mencabar ketahanan dalam dunia, motosikal pasukan pengilang Movistar Yamaha MotoGP, Yamaha M1. Beberapa pusingan sudah pasti tidak akan menjadi satu isu bagi Rossi TETAPI mengharungi empat sesi latihan, satu pusingan kelayakan DAN perlumbaan penuh di Aragon adalah satu hal yang berlainan sama sekali.

Kami juga turut melaporkan sebelum ini yang penunggang pasukan pengilang WorldSBK Yamaha, Michael van der Mark, telah pun dinamakan sebagai pengganti Rossi bagi pusingan MotoGP hujung minggu ini. Van der Mar masih jua akan menghadirkan diri di litar berkenaan jika timbul kemungkinan yang Rossi tidak dapat menyertai perlumbaan itu.

Sumber imej: WorldSBK

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pengumuman penunggang pengilang Yamaha WorldSBK, Michael van der Mark, menggantikan Rossi, TEKAN SINI.

Siapakah yang akan bertanding pada hari Ahad yang akan tiba ini masih menjadi tanda tanya. Kita akan hanya mendapat jawapannya setelah Rossi mendapat kebenaran dari ke semua pegawai MotoGP dan juga pasukan perubatan dan juga selepas pusingan pertamanya sewaktu Latihan Bebas 1 nanti.

Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini MotoGP

Sumber: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]