Chear Global Sdn. Bhd., pengedar rasmi motosikal CMC di Malaysia telah memperkenalkan motosikal terkini mereka, motosikal moped CMC Ario 110 dan motosikal cafe racer CMC Italjet Buccaneer 250i. Pelancarannya telah diadakan semalam di litar ELITE Speedway Karting Circuit di Subang Jaya, Selangor.
Tertumpu kepada peningkatan keberadaan mereka di pasaran motosikal negara terutamanya dalam segmen motosikal gaya hidup dan moden klasik, dua tambahan terbaru ini telah direka bagi menawarkan penggayaan yang hebat pada harga yang berpatutan.
CMC Ario 110 2017 – RM3,988 (harga asas tanpa GST)
Motosikal Ario 110 2017 yang baru ini disasarkan untuk memenuhi permintaan yang senantiasa meningkat untuk motosikal moped berkapasiti kecil yang bagus di dalam negara kita ini.
Menurut Encik Leong King Choon, Ketua Pegawai Operasi CMC Motorcycles Malaysia, “Kami berasa teruja kerana mempunyai produk dengan rekaan yang baik dan prestasi yang lebih tinggi di dalam kelasnya untuk ditawarkan kepada komuniti penunggangan, dan pada harga yang berpatutan.”
Tawaran motosikal moped terkini mereka ini dijana oleh enjin patuh Euro3, sejukan udara, satu silinder, empat lejang, 107cc yang menghasilkan 6.4hp pada 7,500rpm dan 7Nm tork pada 5,500rpm. CMC mendakwa yang Ario 110 terbaru dari mereka itu mampu mencecah kelajuan maksima sehingga 110km/j yang mana cukup sesuai untuk lebuh raya di Malaysia dan mereka yang mematuhi undang-undang.
Dengan beratnya pada 107kg, motosikal Ario 110 ini menjanjikan kecekapan bahanapi yang hebat yang mana ianya telah digandingkan dengan tangki bahanapi 4 liternya yang kecil tetapi cekap. Spesifikasi lain termasuklah fork hadapan teleskopik, pegas gegelung (coil spring) hidraulik belakang, dan pakej pembrekan yang terdiri daripada cakera brek hadapan dan aturcara brek dram di belakang.
Motosikal Ario 110 2017 ini dinilai pada harga RM3,988 (harga asas tanpa GST). Terdapat dua pilihan warna yang disediakan: Metallic Red dan Black.
CMC Italjet Buccaneer 250i 2017 – RM15,500 (harga asas tanpa GST)
Bersama-sama moped terbaru dari CMC, motosikal cafe racer CMC Italjet Buccaneer 250i 2017 juga turut menyertai pelancaran itu. Dengan rekaan yang cantik dan tersendiri, kami rasakan yang ianya pasti akan menarik minat para penggemar motosikal moden klasik yang ada di Malaysia.
“Motosikal cafe racer kekal popular hingga ke hari ini, malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ianya kembali menjadi pilihan, oleh kerana semakin banyak pengedar yang menawarkan model-model dengan rekaan yang hampir sama.”
Ciri yang paling menarik pada Italjet Buccaneer 250i 2017 ini semestinya enjin 250cc, V-berkembar 60 darjah, suntikan bahanapi yang menghasilkan sehingga 17.4hp pada 8,000rpm dan 19Nm tork pada tahap 6,000rpm.
Tangki bahanapinya bukan sahaja telah direka dengan cantik sekali, ia juga mampu diisi dengan 14 liter bahanapi. Ini bermakna bahawa Italjet Buccaneer 250i 2017 ini boleh merentasi jarak yang jauh sebelum ia perlu berhenti untuk isian semula.
Keseluruhan kuasanya itu didorong ke roda belakang berjejari 15 incinya itu melalui transmisi manual lima kelajuan dengan aturcara pacuan terakhir rantai.
Pakej suspensinya pula terdiri daripada fork hadapan teleskopik beserta sistem redaman belakang ‘monoshock‘ bersama dengan cakera brek pada kedua-dua bahagian (280mm hadapan, 240mm belakang) untuk pengalaman menunggang yang lancar serta terkawal.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan motosikal CMC Italjet Buccaneer 250i 2017 milik anda sendiri, ianya diletakkan pada harga yang menakjubkan iaitu RM15,500 (harga asas tanpa GST). Terdapat tiga pilihan warna yang telah disediakan; Yellow Gold, Black dan Matte Black.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal CMC, anda boleh layari laman sesawang mereka di www.cmcmotorcycles.com.my.
GALERI GAMBAR