- Desas-desus telah tersebar mengenai usaha untuk memancing juara WorldSBK, Jonathan Rea untuk menyertai Suzuki dalam siri MotoGP.
- Dengan prestasi penunggang utama semasa SUZUKI ECSTAR, Andrea Iannone, tidak mencapai tahap yang mereka harapkan, Dorna dan Suzuki dikatakan sedang dalam perbincangan dalam usaha untuk mendapatkan khidmat Juara Dunia WorldSBK itu.
- Sekiranya perpindahan ini berjaya, terdapat satu kemungkinan yang besar Suzuki mampu bersaing dengan pasukan pengilang dan juga menjadikan siri WorldSBK berdaya saing semula bagi penunggang-penunggang yang lain.
Pusingan MotoGP yang baru sahaja berakhir baru-baru ini dipenuhi dengan aksi dan drama walaupun tanpa juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dari pasukan Movistar Yamaha. Ia juga satu lagi perlumbaan yang menghampakan buat pasukan SUZUKI ECSTAR apabila penunggang utama mereka, Andrea Iannone terpaksa bersara dari perlumbaan selepas 12 pusingan di dalam hujan.
Untuk kali ini, penunggang berusia 28 tahun dari Itali itu terpaksa menamatkan perlumbaannya atas satu sebab yang sukar untuk dipercayai. Menurut Iannone, ianya disebabkan oleh sut hujan yang dipakainya di atas sut perlumbaannya itu terlalu ketat. Ini telah menyebabkan masalah pada bahagian lengannya yang menyebabkan kesakitan otot yang teramat sangat.
Ianya sesuatu yang tidak menggembirakan kedua-dua pasukan pengilang Suzuki MotoGP dan juga Dorna. Ini telah menyebabkan tersebarnya satu khabar angin yang mengatakan bahawa kedua-dua belah pihak sedang cuba untuk memancing salah satu nama yang cukup terkenal di siri Superbike Dunia pada waktu ini, Jonathan Rea dari pasukan Kawasaki Racing Team.
Dengan lebih banyak kemenangan dari pesaingnya dan jurang mata yang selesa pada musim WorldSBK tahun ini, Jonathan Rea telah menjadi satu kuasa dominan di atas jentera Kawasaki ZX-10RRnya. Pada hujung minggu yang lalu di Portugal, sekali lagi Rea telah berjaya membolot kemenangan di kedua-dua pusingan perlumbaan. Daripada 20 perlumbaan dalam 10 pusingan WorldSBK yang lalu, Rea telah berdiri di tempat teratas podium sebanyak 11 kali buat setakat ini.
Ini telah menarik perhatian kedua-dua Dorna dan MotoGP yang kini dalam usaha menjadikan Suzuki lebih berdaya saing setara dengan pasukan pengilang yang lain dan juga turut menjadikan siri WorldSBK berdaya saing dan mengujakan semula. Dominasi Rea di WorldSBK akan berakhir dan dengan kemahirannya, Suzuki berharap yang Rea akan dapat membawa lebih banyak penamat atas podium untuk mereka sekiranya perpindahan ini berjaya.
Meskipun dengan segala khabar angin ini, ianya kelihatan seperti Suzuki akan tetap mengikut perjanjian yang telah mereka kotakan untuk mengekalkan Andrea Iannone sehingga tamat musim 2018. Walau apapun rancangan mereka, kami yakin yang Suzuki pastinya mempunyai helah yang tersembunyi dan bila tiba masanya, mereka akan dedahkannya kepada kita semua.