- Bimota telah menghentikan pengeluarannya di Rimini.
- Papan tandanya juga telah diturunkan dari fasiliti di Rimini.
- Projek BB3 yang berasaskan dari BMW S 1000 RR juga telah dihentikan secara rasmi.
Bimota, pembina motosikal kecil dari Itali yang telah membina beberapa buah motosikal yang revolusinari telah pun menghentikan pengeluarannya sekali lagi, dan kali ini mungkin untuk selamanya.
Syarikat yang telah dimulakan pada tahun 1973, dengan namanya merupakan gabungan dua huruf pertama pada nama akhir tiga pemiliknya: Valerio Bianchi, Giuseppe Morri, serta Massimo Tamburini. Tamburini? adakah ini Tamburini yang sama yang telah mereka motosikal Ducati 916 dan juga MV Agusta F4?
Ya.
Ianya di Bimota-lah di mana Tamburini berusaha untuk menyempurnakan rekaan motosikalnya, dengan membekalkan mutu penggayaan dan teknikal melalui kerja keras, pada kebanyakan masanya dengan tangannya sendiri. Dia sendiri telah memotong, membentuk, mengimpal tiub keluli chrome-moly untuk kerangka lanjutan. Rekaan yang sama dapat dilihat kemudiannya di Ducati.
Satu persengkataan dengan Guiseppe Morri menyebabkannya untuk berhenti, meninggalkan Bimota ketandusan kepintaran rekaan dan teknikal yang telah membuatkan syarikat itu dikenali ramai. Valerio Bianchi telah pun meninggalkan syarikat itu sebelum ini. Dan bagaikan balasan, Morri sendiri telah dipaksa untuk meninggalkan syarikat itu beberapa tahun selepas itu.
Jenama ini kini dimiliki oleh Daniele Longoni dan Marco Chiancianesi, rakyat Itali yang kini sedang menetap dan beroperasi dari Switzerland.
Walaubagaimanapun, telah timbul khabar angin seawal bulan Januari tahun ini mengatakan yang Longoni sedang melengahkan masa untuk menjual ke semua stok dan apa sahaja yang masih tinggal dari projek BB3 yang terbengkalai. Diasaskan dari motosikal BMW S 1000 RR, ianya dikatakan sebagai motosikal Bimota yang bakal mengembalikan kegemilangannya.
Walaupun ada sesetengah yang mengatakan Bimota bukannya menghentikan sebarang projek yang besar mana sekali pun, memandangkan kilang berdekatan Rimini itu telah pun dibiarkan kosong buat beberapa ketika, penanggalan papan tandanya adalah satu petanda yang buruk. Harapan yang tinggal buat pengeluar motosikal yang tidak konvensional ini adalah para pelabur. Dengan itu marilah kita berdoa agar bakal pengurus dananya benar-benar memahami intipati Bimota, jika tidak, jenama ini bakal diingati sebagai genius yang gagal.