- Yamaha meletakkan jentera NVX155 ini sebagai skuter premium.
- Yamah NVX155 menawarkan penunggangan yang lebih sporty.
- Enjin pada NVX155 ini didasarkan daripada enjin NMAX.
Pengulas motosikal perlu mendapat satu gelaran tambahan pada nama kami. Eksekutif Jualan Sambilan tampak sesuai sekali.
Orang pertama yang saya jumpa setelah mengambil skuter NVX ini dari Sg. Buloh bertanyakan beberapa soalan yang merupakan soalan-soalan yang akan sering saya dengari sepanjang skuter ini berada dengan saya.
“Skuter ape ni?”, “Berbanding dengan NMAX apa perbezaannya?”, “Bagaimana dengan tunggangannya?”, “Top speed berapa?”, “Harga?”. Tidak semestinya dalam turutan berkenaan, namun soalan-soalan yang sama.
Saya menjawab sekurang-kurangnya seorang, malah kadang-kadang tiga orang berbeza dalam satu hari. Saya yakin saya mampu menjual beberapa buah dan dapat menggunakan komisyennya untuk membeli teleskop astronomi yang telah lama saya idamkan. Apa yang jelas, terdapat ramai yang ingin tahu tentang Yamaha NVX ini.
Yamaha NVX ini pada mulanya telah diperkenalkan oleh “The Doctor”, Valentino Rossi, ketika pusingan MotoGP Malaysia 2016. Juga dikenali sebagai Aerox di sesetengah negara, netizen Malaysia bergegak gempita sejurus sahaja berita dan gambar-gambarnya muncul di media sosial.
Namun kita terpaksa menunggu selama Sembilan bulan yang penuh penyiksaan sebelum ianya dilancarkan secara rasmi pada bulan Julai 2017 (TEKAN SINI untuk acara pelancaran itu). Dengan kadar yang segera kita mengetahui yang “penangguhan” itu adalah kerana, pertama, Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) ingin melihat dahulu prestasi model ini di pasaran lain dari segi reliabiliti. Keduanya, HLYM telah melabur dalam alat ABS bagi melengkapkan NVX serta model yang akan datang dengan sistem pembrekan ini. Ketiganya, HLYM ingin memastikan yang bahagian teknikal dan pengedar mereka dilatih sepenuhnya mengenai NVX. Keempat, HLYM perlu membina inventori alat gantian mereka – bagi memudahkan pengguna mereka pada masa yang akan datang kerana tiada perasaan yang lebih teruk dari perlu menunggu alat gantian untuk motosikal kesayangan anda.
Kini, skuter NVX telah pun tiba, dan berdasarkan betapa bagusnya NMAX, kami dan ramai bakal pemilik amat berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang NVX ini.
Melihat sebuah motosikal di atas pentas sewaktu pelancaran tidaklah sama seperti melihatnya dengan lebih dekat dalam persekitaran dunia sebenar.
NVX ini ternyata lebih besar berbanding model-model lain dalam keluarga skuter HLYM, dan semestinya digayakan dengan lebih agresif dan berteknologi tinggi. Rekaannya terdiri daripada garisan dan panel yang bersudut tajam, bermula dari bahagian hadapan sehinggalah ke bahagian belakang. Ia mempunyai tayar dan roda yang lebih besar serta berisi. “Tunjang” tengahnya di mana terletaknya tempat pengisi bahanapi juga lebih tinggi. Lampu hadapan LED mempunyai kerutan muka ala-R25. Jika dilihat dengan lebih dekat, bahagian hadapan NVX ini mempunyai perwatakan yang sama seperti motosikal lumba semasa Yamaha, yang diketuai oleh YZF-R1.
Melabuhkan punggung di pelananya pada kali pertama mengesahkan yang ianya lebih tinggi daripada NMAX, disebabkan oleh roada 14 incinya itu. (berbanding NMAX yang menggunakan roda 13 inci). Ergonomik NVX ini lebih padat, seakan sebuah motosikal kapchai dengan papan lantai. Tiada ruang untuk meregangkan kaki ke hadapan.
Dari atas pelananya, anda dapat melihat skrin LCD berdigital penuh 5.8 inci serta sistem nyalaan dan penguncian yang baru. Skuter NVX ini menggunakan Smart Key System yang baru, yang mana ia secara dasarnya sebuah aturcara tanpa kunci. Tetapi ianya lebih dari sekadar itu.
Penunggang perlu mematikan pemegunnya, kemudian tekan dan pusing “dail”nya ke fungsi yang diinginkan; membuka pelana/penutup pengisi bahanapi/menghidupkan nyalaan. Dail ini akan berada di posisi LOCK atau OFF jika pemegunnya belum dimatikan. Enjinnya tidak dapat dihidupkan, sekiranya dial pada skuter itu terletak di posisi ON, kecuali jika pemegunnya dimatikan menggunakan Smart Key. Kami juga mendapati yang skuter ini akan mengeluarkan bunyi blip yang amat kuat sekiranya dail itu berada pada posisi OPEN (bagi membuka pelana atau tangki bahanapi) bagi mengingatkan kita untuk menukarkan ke OFF atau LOCK. Jika dibiarkan, pemegunnya akan akhirnya dihidupkan sendiri, menyekat keupayaan enjin itu daripada dinyalakan. Kami cukup suka akan ciri ini.
Menghidupkan enjinnya menghasilkan nota bunyian yang agak teredam dan pada masa yang sama agak sporty. Pulas sahaja pendikitnya dan ia akan bergerak.
Untuk janaan kuasanya, enjin NVX ini berkongsi cara Blue Core yang sama yang boleh didapati pada NMAX, termasuklah ciri Variable Valve Actuation (VVA). Bagaimanapun, NVX ini dikelaskan sebagai kenderaan cekap tenaga (Energy Efficient Vehicle – EEV). Yamaha telah mendakwa yang jumlah kegunaan bahanapinya pada 2.2 liter/100km. Membantu mencapai kecekapan sebegini adalah fungsi “Start and Stop”-nya.
Sistem “Start and Stop” ini boleh dihidupkan menggunakan satu suis di atas butang mulaan enjin. Dengan menghidupkan sistem ini, menunggang melebihi kelajuan 40km/j untuk mengaktifkannya; enjin akan berhenti dengan nyalaan dan lampu-lampunya dihidupkan apabila berhenti sepenuhnya. Pulasan pada pendikitnya akan menghidupkan semula enjinnya. Jika anda mematikan sistem ini, enjin akan terus melahu apabila anda berhenti. Cukup mudah.
Walau enjin ini berkongsi struktur pembinaan yang sama seperti NMAX, ia terasa lebih lincah pad NVX. Tindakbalas pendikit dan bahanapi terasa amat bertepatan, terasa kuasanya sebaik sahaja memulas pendikit. Masih terdapat sedikit kuasa yang mencukupi apabila menunggang pada kelajuan 110km/j.
Dari awal lagi, NVX ini menunjukkan betapa lincahnya dirinya, dan ia datang dengan bonus tambahan. Suspensi dengan tayarnya yang besar memberikan tahap keyakinan yang tinggi untuk mengakali selekoh dan menyusup di antara trafik dengan yakin sekali. Skuter selalunya terasa agak ‘keawang-awangan’ disebabkan tayar hadapan yang lebih kecil, namun tiada sebarang petanda ianya akan terjatuh semasa anda menguji kebolehannya.
Saya bertembung dengan hujan yang lebat sejurus sahaja mengambilnya. Tayarnya mungkin kelihatan agak licin namun ianya mencengkam dengan baik sekali di atas jalan yang basah. Selain dari itu, saya juga berasa amat lega dengan adanya ruang simpanan bawah pelana sebesar 25 liter yang dengan mudah dapat menyimpan pakaian hujan saya dan juga beg laptop saya. Saya kekal kering di sebalik pakaian hujan saya dan laptop saya kekal kering dalam ruang simpanan itu. Terdapat juga kompartmen di hadapan, di bawah palang pemegang sebelah kiri. Ia mempunyai soket pemetik api rokok untuk anda palamkan sebuah adapter dan caskan teleefon anda.
Di atas lebuhraya, skuter NVX tidak mempunyai masalah untuk mencapai kelajuan 110km/j. Ianya juga tidak mempunyai masalah untuk mencapai kelajuan cruising kesukaan saya 120km/j dari permulaan pegun juga. Takometernya menunjukkan 9000rpm pada kelajuan itu, jada masih terdapat 1000rpm yang boleh digunakan. Enjinnya tidak sekali pun terasa seperti ianya memaksa dirinya untuk menapai kelajuan berkenaan. Roda serta tayar yang lebih besar telah memberikan skuter ini penggearan yang lebih tinggi, dan dengan itu menjadikan cruising terasa lancar.
Namun, berulang alik dalam bandar adalah di mana skuter NVX ini menunjukkan taringnya. Menunggang motosikal yang lincah dengan keagresifan yang terkawal di Kuala Lumpur merupakan factor penentu keselamatan di jalanraya ibu kota itu. Ianya terasa seakan-akan saya sedang menunggang sebuah basikal yang pantas ketika saya menyusup di celah-celah trafik, menyelinap di antara laluan dan mengendali selekoh yang tajam. Terdapat banyak tindakbalas dari tayar hadapanya, dan ia tidak pernah sekali pun terasa bahaya ketika anda mengendalikannya. Malah NVX ini bagaikan tidak endah sekiranya anda mengujinya dengan pendikit yang dipulas sepenuhnya juga. Ianya sangat stabil untuk sebuah skuter bersaiz kecil.
Breknya yangkuat juga turut banyak membantu. SistemABS yang berfungsi dengan sepatutnya apabila saya terpaksa membrek dengan keras dalam hujan ketika menghindari sebuah kereta yang telah memintas saya dengan mengejut.
Sejujurnya, saya selalu tertanya-tanya mengapa penunggang skuter dan kapchai sering suka menyusup ke kiri dan kanan, memanjat laluan kaki lima untuk memarkir, menyelinap melepasi halangan, dan secara amnya melakukan aksi-aksi yang mengarut. Jawapan saya dapat begitu mudah: Menunggang motosikal yang ringan cukup menyeronokkan!
Saya tidak perlu risau akan klac mahu pun pilihan gear yang betul; saya tidak perlu berhenti dengan kerap untuk menukar laluan kerana NVX ini tidaklah begitu lebar; dan semestinya saya boleh mengendali sebarang rintangan; ditambah lagi dengan kebebasan dari perlu menggalas beg yang berat.
Tambahan pula, NVX ini benar-benar cekap bahanapi. Saya tidak dapat mencapai angka 2.2 liter kerana penunggangan saya yang agresif, namun saya pernah ternampak 2.8 liter/100km. Saya hanya membuat isian semula sebanyak dua kali sahaja dalam seminggu dengan skuter ini, kali keduanya ketika saya memulangkan skuter ini (Saya tidak mahu kembalikan motosikal uji dengan tangki yang kosong).
Kekurangannya? Seperti mana-mana skuter, seteru utama NVX adalah lubang-lubang di atas jalan serta bonggol yang tinggi. NVX ini mempunyai suspensi yang amat baik, namun dengan keadaan jalan raya di Kuala Lumpur yang agak memalukan, ianya terpaksa bekerja keras. Lubang yang dalam menyebabkan topang belakangnya terhentak pada penyekatnya ketika saya menunggang berdua dengan isteri, namun dimaklumkan yang jumlah berat keseluruhan kami berdua ialah 150kg. Penunggang yang lebih ringan tidak perlu risau.
Jadi, itulah dia. Semua jawapan yang anda ingin tahu mengenai skuter Yamaha NVX. Secara peribadi, saya amat menyukainya, dan mungkin sekali akan mendapatkannya untuk menghiasi lagi koleksi motosikal saya. Ia tampak hebat, berfungsi dengan baik dan bergerak dengan lancar. Oleh sebab itulah ianya sebuah skuter yang amat menyeronokkan.
Yamaha NVX ini dinilai pada harga yang menggiurkan RM10,500(harga asas beserta GST).
Spesikasi Teknikal
ENGINE | |
Engine type | Liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, single-cylinder with VVA |
Compression ratio | 10.5 : 1 |
Bore X Stroke | 58.0 mm X 58.7 mm |
Displacement | 155 cc |
Fuel system | Electronic fuel injection |
Maximum power | 14.7 bhp (11.0 kW) @ 8000 RPM |
Maximum torque | 13.8 Nm @ 6250 RPM |
TRANSMISSION | |
Clutch | Dry, centrifugal |
Gearbox | CVT (constantly variable transmission) |
CHASSIS | |
Front suspension | Telescopic forks |
Rear suspension | Twin shocks |
Front brakes | Single disc, ABS |
Rear brake | Drum brake |
Front tyre | 110/80-14 |
Rear tyre | 140/70-14 |
FRAME & DIMENSIONS | |
Frame | Underbone |
Wheelbase | 1350 mm |
Seat height | 791 mm |
Dry weight | 118 kg |
Fuel capacity | 4.8 litres |
Galeri Gambar
Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah