Yamaha Memperkenalkan Skuter X-Max 400 Yang Diperkemaskini!

Yamaha Malaysia mungkin sahaja baru memperkenalkan skuter NVX terbaru (yang sejujurnya, sebuah skuter dengan rupa paras yang menarik dan didatangkan dengan kelengkapan yang terkini, TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai skuter NVX berkenaan), tetapi, untuk pasaran globalnya,Yamaha baru sahaja memperkenalkan satu lagi skuter yang tampak begitu menakjubkan, iaitu Yamaha X-Max 400.

Ianya merupakan kemaskini terbaru bagi skuter X-Max 400 yang terdahulu dengan beberapa peningkatan penggayaan dan juga teknikal. Selari dengan gaya permotosikalan semasa, lampu hadapannya dilengkapi dengan teknologi LED dan begitu juga untuk lampu belakangnya.

Bahagian hadapannya kini berperincikan fork dwi-apit dengan ruang gerakan 4.3 inci, satu perincian yang dapat didapati pada kebanyakan motosikal biasa, dan merumahkan roda 15 inci dengan tayar bersaiz 120/70. Bahagian belakangnya pula menawarkan penyerap hentakan berkembar dengan ruang gerakan 3.6 inci, dan roda 13 inci serta tayar 150/70.

Bagi daya hentinya, dua cakera brek hadapan dengan rotor 267mm dilengkapkan untuk bahagian hadapan, manakala bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan satu cakera brek belakang 267mm. ABS telah ditawarkan sebagai kelengkapan standard pada X-Max 400 ini, dan ia juga didatangkan dengan brek parkir sebagai perincian standard.

Berat keseluruhannya direndahkan sebanyak 5 kilogram, dengan berat keseluruhan barunya pada 210kg. Ketinggian pelananya pula lebih tinggi dari sebelum ini dan ruang simpanan bawah pelana juga telah diperbesarkan. Yamaha mengatakan bahawa ianya kini mampu memuatkan dua helmet ‘full-face‘. Terdapat juga ruang simpanan baru di hadapan pada pelindung kaki.

Yamaha X-Max 400 yang dikemaskini ini juga dilengkapi dengan berbagai kelengkapan seperti yang telah disebut sebelum ini seperti lampu hadapan berkembar LED dan lampu belakang LED, penghadang angin bolehsuai, palang pemegang bolehsuai, dan juga sistem mulaan tanpa kunci, yang terakhir sekali itu juga ditawarkan sebagai kelengkapan standard untuk NVX terbaru.

Walaupun Yamaha X-Max 400 baru ini sebuah skuter dengan rupa yang cukup menarik dan berbagai perincian yang menakjubkan, secara realitinya kemungkinan untuk ia dibawa masuk untuk pasaran Malaysia adalah amat-amat tipis sekali.

Dengan struktur perlesenan kita membuatkan ianya sukar serta mahal bagi para penunggang biasa untuk mendapatkan lesen B Penuh yang diperlukan untuk motosikal di atas 250cc, ianya sukar bagi Hong Leong Yamaha Motors (HLYM) Malaysia untuk mewajarkan sebab untuk membawa skuter ini masuk ke pasaran negara kita.

Dan oleh kerana sebab inilah juga para pengeluar motosikal seperti Yamaha, Kawasaki, dan Honda kini sedang sibuk menumpukan perhatian kepada motosikal 250cc dan ke bawah kerana lebih ramai orang yang mempunyai lesen B2 berbanding dengan B Penuh.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]