MotoGP: Marquez Meneruskan Penguasaan Di Sachsenring; Folger Dan Pedrosa Penuhi Podium

 

  • Pusingan MotoGP Jerman menyaksikan Marc Marquez (Repsol Honda) meneruskan penguasaannya di Sachsenring dengan kemenangan bergaya dari petak pertama.
  • Namun, Jonas Folger (Monster Yamaha Tech 3) telah mencuri perhatian semua dengan persembahan yang menakjubkan di hadapan penonton tuan rumah, dan berjaya merangkul tempat kedua.
  • Pelumba rookie MotoGP itu memberikan saingan yang hebat kepada Marquez, malah berjaya mendahului perlumbaan pada satu ketika sebelum terpaksa berpuas hati di tempat kedua kerana kehausan tayar.


Penakluk Sachsenring, Marc Marquez (Repsol Honda) telah meneruskan rekod kemenangannya di litar ini, menjadikannya lapan kali kemenangan berturut-turut di Sachsenring pada pertengahan musim MotoGP 2017 ini. Kemenangan kelapannya ini juga telah menghiasi rekod hebatnya memenangi kesemua perlumbaan ini dari petak pertama. Kemenangan ini juga telah meletakkan Marquez di tangga teratas sebagai pendahulu kejohanan untuk tahun 2017 dengan sejumlah 129 mata.

Walaupun Marquez telah melintasi garisan penamat di tempat pertama, pandangan mata dan perhatian semua ditumpukan kepada penunggang yang telah memberikan saingan yang sengit sekali untuk Marquez di sepanjang perlumbaan tersebut. Penunggang berkenaan tidak lain dan tidak bukan merupakan penunggang rookie MotoGP dan juga anak tempatan, Jonas Folger (Monster Yamaha Tech 3). Memulakan perlumbaan di petak yang kelima, Folger dengan pantas mendaki kedudukan dan telah mendahului perlumbaan pada bahagian pertengahannya dengan pertarungan yang sengit bersama dengan Juara Dunia MotoGP 2016.

Pada penghujungnya, Folger menamatkan perlumbaannya di tempat kedua yang mengagumkan dengan hanya jarak masa sebanyak 3.3 saat sahaja memisahkan dia dengan Marquez. Ianya merupakan persembahan yang bagus di hadapan penyokong tuan rumah. Apabila ditanya mengenai perlumbaan berkenaan, Folger menyatakan “Ianya merupakan kali pertama bagi diri saya untuk berada di kedudukan sebegini. Saya nyaris terbabas di selekoh pertama apabila Petrucci telah melanggar saya, tetapi saya tahu dari pusingan pemanas badan lagi yang saya mempunyai rentak yang hebat. Saya telah mengekori Marc dan sedar bahawa waktu sektor ketiga saya cukup pantas. Saya telah mendahului perlumbaan dan bagaikan tidak mempercayainya, di litar Sachsenring!”

“Di penghujungnya saya tidak mengejar Marc lagi, dia mempunyai lebih banyak pengalaman dan saya telah banyak belajar. Saya cuba untuk menjimatkan tayar dan saya pasti yang sehingga penghujung saya boleh mengekorinya – saya pasti yang saya mampu mencuba pada pusingan terakhir tetapi saya tersasar dari garisan perlumbaan dan kehilangan lebih dari sesaat. Saya cuba untuk menebus semula dan hampir-hampir terbabas sebanyak dua atau tiga kali lalu saya fikirkan ‘ok’. Namun ianya pengalaman yang hebat menunggang bersama-sama Marc dan Dani.”

Dani Pedrosa (Repsol Honda) menamatkan perlumbaan ke sembilan MotoGP untuk tahun 2017 di tempat ketiga. Walaupun ianya merupakan perlumbaan yang sunyi buatnya sepanjang perlumbaan, kedudukan podium ini telah banyak membantu dalam kedudukan kejohanannya di mana Pedrosa kini menduduki tangga kelima dengan 103 mata.

Pasangan penunggang dari pasukan Movistar Yamaha MotoGP, Maverick Viñales dan Valentino Rossi juga telah berjaya merangkul tempat keempat dan kelima, secara keseluruhannya penamat yang baik memandangkan mereka masing-masing bermula dari petak ke-11 dan ke-9. Terdapat begitu banyak pertarungan yang sengit sekali pada permulaan perlumbaan yang melibatkan Jorge Lorenzo dan Andrea Dovizioso (Ducati Team) beserta dengan Danilo Petrucci (OCTO Pramac Racing).

Alvaro Bautista (Pull&Bear Aspar Team) melakukan serangan pada penghujung perlumbaan dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam di hadapan seorang lagi penunggang yang mempersembahkan aksi yang menakjubkan, Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini) yang berada di tempat ketujuh. Aleix menunggang jentera RS-GPnya ke garisan penamat di hadapan Dovizioso, Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) dan Cal Crutchlow (LCR Honda) yang menduduki P8, P9, dan juga P10.

Hujung minggu lalu menandakan pertengahan musim MotoGP untuk tahun 2017 dengan beberapa penunggang berbeza telah mendahului kejohanan dan juga sepuluh penunggang berbeza telah menamatkan perlumbaan di atas podium. Para penunggang akan berehat selama sebulan bagi mengatur semula strategi yang akan digunakan untuk baki musim ini dan kemudiannya akan menuju ke Republik Czech pada 6 Ogos 2017 bagi pusingan GP Czech di litar berlegenda Automotodrom Brno.

Teruskan bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini mengenai MotoGP

Sumber: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]