Tidak seperti pasukan Formula 1 yang mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan pemandu mereka melalui radio walaupun ketika di tengah-tengah kesengitan pertandingan (selalunya dengan jawapan yang sama ada berang atau pun melucukan daripada para pemandu), pasukan MotoGP telah mencuba pelbagai cara yang lain untuk menyampaikan maklumat dengan lebih baik kepada para penunggang.
Para penunggang sering kali terlepas pandang papan pesanan pasukan semasa mereka menumpukan perhatian untuk mengakali pesaing masing-masing. Dan dalam siri perlumbaan Moto3 dimana para penunggang sering kali dalam kelompok bersama-sama dan masing-masing merebut posisi untuk mendapatkan slipstream, penunggang-penunggang ini merasakan amat sukar untuk membaca pesanan di atas papan pit dan juga menumpukan perhatian pada perlumbaan pada masa yang sama.
Pasukan pasukan ini sebelum ini telah pun diberikan kebenaran untuk meletakkan satu sistem yang memberitahu penunggang apabila dia menerima bendera merah atau hitam, dan ianya telah meluas diguna pakai. Namun ianya bukan satu rahsia yang Pengarahan Perlumbaan serta para pasukan inginkan satu sistem yang lebih lengkap yang membolehkan mereka berkomunikasi dengan penunggang lebih daripada hanya memaklumkan mereka warna bendera yang mereka terima.
Menurut sebuah laman sesawang MotoGP yang popular, Moto Matters, para pasukan telah pun diberikan kebenaran untuk menggunakan sistem ini. ECU seragam dan papan pemuka yang digunakan dalam siri MotoGP dan Moto3 sudah pun mempunyai kemampuan ini dalam sebuah mod yang dipanggil “duplex mode”, di mana mesej dapat dihantar dan diterima melalui gelung pemasa ketika berada di atas litar. Ini membolehkan Pengarahan Perlumbaan untuk menghantar mesej kepada seorang atau berbilang penunggang, namun sama ada penunggang nampak, baca dan faham akan mesej berkenaan adalah satu hal yang berbeza.
Hal ini dibangkitkan kerana pada pusingan MotoGP di litar Sachsenring tahun lalu menyaksikan beberapa orang penunggang terlepas pandang papan pit masing-masing, lalu terlepas waktu terbaik untuk menukar motosikal dari tayar cuaca basah ke tayar perlumbaan ‘slick’. Oleh sebab ini beberapa penunggang telah menyuarakan pendapat mereka mengenai penerimaan mesej dari pasukan mereka.
Dengan itu, selepas perlumbaan GP Belanda yang baru sahaja tamat, Suruhanjaya Grand Prix telah bersidang untuk membincangkan pembaharuan undang- undang MotoGP, termasuklah membenarkan penggunaan mesej pada papan pemuka oleh para pasukan bermula tahun 2018. Peraturan ini telah pun diperbaharui, dan pasukan MotoGP dan Moto3 akan menggunapakai sistem mesej papan pemuka yang membolehkan pasukan serta penunggang untuk berkongsi maklumat, lebih daripada hanya memberitahu penunggang akan warna bendera yang mereka terima. Siri perlumbaan Moto2 akan menyusul pada tahun 2019 setelah Triumph membekalkan enjin yang baru serta kelengkapan elektronik baru dari Magneti Marelli. Mesej yang dihantar tidak akan ada sebarang had atau pun kekangan.
Berikut merupakan kenyataan dari FIM:
Paparan Papan Pemuka dan Mesej: Ianya telah disahkan bahawa jentera dalam kelas Moto3 dan MotoGP mestilah mempunyai kemudahan papan pemuka untuk memaparkan mesej teks, berpaut pada lampu amaran terkini, bermula pada tahun 2018. Ianya juga akan berkuatkuasa bagi kelas Moto2 bermula 2019. GPC kini telah mengesahkan senarai mesej jitu yang akan dihantar bersama dengan lampu amaran oleh Pengarahan Perlumbaan.
Sesetengah pasukan sudah pun mempunyai kemudahan ini di atas papan pemuka jentera mereka bagi menerima mesej teks dan, setelah mendapat
kebenaran daripada Suruhanjaya Keselamatan, GPC mengesahkan bahawa pasukan-pasukan ini telah pun menggunakan kemudahan ini sebagai ‘papan pit maya’. Ianya tidak memerlukan sebarang pengubahan kepada peraturan yang sedia ada.