- Cal Crutchlow telah menandatangani perjanjian MotoGP dengan HRC selama dua tahun untuk kekal bersama pasukan LCR Honda bagi musim 2018 dan juga 2019.
- Kontrak serba baru dengan HRC ini akan menaikkan status Crutchlow kepada penunggang pengilang yang akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada HRC dan juga semestinya, jentera Honda RC213V yang terkini.
- Penunggang British berusia 31 tahun itu telah memperolehi dua kemenangan dan empat penamat di atas podium setakat ini untuk musim 2017, dan pada masa yang sama membantu pasukan pengilang Honda dalam pembangunan motosikal perlumbaan Honda yang masih liar itu.
Penunggang MotoGP Cal Crutchlow telah menandatangani perjanjian dua tahun terbaru dengan HRC beberapa hari yang lalu sebelum bermulanya pusingan berikutnya di litar Assen untuk GP Belanda yang bermula awal hari ini. Penyambungan selama dua tahun untuk kekal bersama dengan pasukan semasanya, LCR Honda, akan menyaksikannya dinaikkan status sebagai penunggang pengilang yang akan disokong sepenuhnya oleh Honda Racing Corporation.
Kenaikan taraf untuk Crutchlow ini dilihat sebagai ganjaran hebat dari HRC memandangkan kejayaan yang dibawa oleh Crutchlow dan juga bantuannya dalam pembangunan jentera perlumbaan Honda MotoGP yang amat berdaya saing, Honda RC213V. Crutchlow, bersama dengan pasukan LCR Honda telah mengecapi dua kemenangan serta empat penamat di atas podium setakat ini dengan motosikal Honda MotoGP ini.
Merujuk kepada kontrak yang terbaru ini, Tetsuhiro Kuwata (Pengarah HRC – Pengarah Urusan Jabatan Pengurusan Operasi Perlumbaan) menyatakan “Kami amat bergembira dapat terus bekerjasama dengan LCR Team dan juga bersama Cal untuk dua musim seterusnya. Kami amat menghargai tugas-tugas yang sedang mereka lakukan, dan kami membuat keputusan untuk mengukuhkan lagi hubungan dan mengangkatkannya lagi dengan meletakkan kontrak Cal secara
langsung dengan HRC. Kami berharap yang terbaik buat Cal dan Lucio untuk baki musim ini dan musim-musim yang akan datang!”
Penunggang berumur 31 tahun berasal dari Coventry, United Kingdom itu telah membantu HRC dan pasangan Repsol Honda, Marc Marquez dan Dani Pedrosa, dalam pembangunan jentera RC213V terbaru sejak setahun setengah yang lalu. Motosikal ini bagaikan seekor lembu yang liar yang perlu dijinakkan, terutamanya ketika keluar dari selekoh.
Menurut Crutchlow, dia telah berkata “Saya dengan sukacitanya mengesahkan bahawa yang saya akan menunggang untuk HRC bersama dengan LCR Team sekali lagi untuk dua musim lagi. Kami telah bekerja dengan keras sekali sejak tiga musim yang lalu secara bersama dan saya yakin yang kami akan menikmati lebih banyak keputusan yang hebat bersama. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada HRC untuk sokongan hebat yang telah diberikan kepada saya dan juga pasukan, dan saya akan memberikan seratus peratus usaha saya untuk projek ini seperti selalunya.”
Sumber imej: MotoGP