- Perlumbaan WorldSBK kedua di Misano menyaksikan kemenangan pertama perlumbaan yang menakjubkan buat Marco Melandri (Aruba.it Racing – Ducati) sejak 2014 di hadapan penyokong tuan rumahnya.
- Bermula di kedudukan kesepuluh, Melandri mempertingkatkan rentaknya dan melintasi garisan penamat di hadapan penunggang-penunggang Kawasaki, Jonathan Rea dan Tom Sykes.
- Chaz Davies tidak dapat bertanding untuk Perlumbaan 2 akibat kecederaan yang dialaminya ketika insiden malang di Perlumbaan 1 antaranya dengan Rea semasa bersaing untuk merebut kemenangan.
Ianya kemenangan yang bergaya buat penunggang Aruba.it Racing – Ducati, Marco Melandri, yang telah berjaya merangkul kemenangan perlumbaan WorldSBK pertamanya sejak tahun 2014. Kemenangan bertambah manis baginya kerana ianya merupakan perlumbaan di litar negaranya di hadapan penyokong tuan rumah di Litar Dunia Misano “Marco Simoncelli” untuk perlumbaan kedua Pusingan Pirelli Riviera Di Rimini WorldSBK pada hari Ahad yang lalu.
Tanpa kehadiran teman sepasukannya Chaz Davies untuk Perlumbaan 2 yang disebabkan oleh pertembungan malang antaranya dengan pendahulu kejuaraan Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team) pada pusingan yang terakhir di Perlumbaan 1, Melandri memberikan persembahan yang begitu hebat sekali, bermula dari kedudukan yang kesepuluh dan melintasi garisan penamat di hadapan Jonathan Rea yang berada di tempat kedua dengan jarak masa melebihi satu saat.
Penunggang-penunggang untuk Kawasaki dapat bergembira dengan kedudukan podium berganda mereka di Perlumbaan 2 di Misano dengan Tom Sykes menamatkan perlumbaannya kurang daripada satu saat di belakang rakan sepasukannya, Jonathan Rea. Satu lagi keputusan yang amat memberangsangkan bagi para penunggang British di atas jentera berdaya saing mereka, Kawasaki ZX-10RR.
Dengan selesainya pusingan di Misano ini, Jonathan Rea masih lagi mendahului kejohanan ini dengan jumlah 296 mata sementara rakan sepasukannya, Tom Sykes, mengekorinya di anak tangga kedua dengan jurang perbezaan sebanyak 50 mata dengan 246 mata. Chaz Davies masih menduduki tempat ketiga kejohanan dengan 185 mata namun memandangkan dia sedang mengalami kecederaan yang agak serius akibat kemalangan berkenaan, ada kemungkinan besar yang penunggang berusia 30 tahun ini tidak dapat bertanding untuk beberapa pusingan yang berikutnya untuk memulihkan dirinya.
Pusingan yang berikutnya akan menyaksikan para penunggang WorldSBK di litar ikonik Mazda Raceway Laguna Seca untuk Pusingan Geico Amerika Syarikat dari 7 hingga 9 Julai 2017. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini dari WorldSBK.
Sumber imej: WorldSBK