Kawasaki Motors Malaysia Memberi Kembali Kepada Masyarakat

  • Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah memulakan program CSR pertama mereka untuk tahun ini dengan sebuah program kebajikan istimewa pada hari Sabtu lalu dinamakan “Gotong-Royong & Agihan Bubur Lambuk Kawasaki”.
  • Kumpulan urusan Kawasaki bersama dengan sekumpulan 60 orang penunggang dari Kawasaki Owners Group (KOG) dan lebih daripada 100 orang peserta telah membantu mengagihkan lebih daripada 3,000 bubur lambuk sekitar Lembah Klang.
  • Paket bubur lambuk istimewa bulan Ramadan yang lazat ini diagihkan ke beberapa rumah anak yatim, balai-balai polis dan bomba, dan juga kepada para pengunjung bazar Ramadan berdekatan Shah Alam.

Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) telah memutuskan untuk membantu mereka yang memerlukan dengan sebuah program ‘outreach‘ istimewa mereka sebagai sebahagian daripada rancangan mereka mendekati orang ramai. Kumpulan urusan ini bersama dengan bantuan daripada 60 orang penunggang dari Kawasaki Owners Group (KOG) dan lebih daripada 100 orang peserta, melaksanakan program istimewa yang di beri nama “Gotong-Royong & Agihan Bubur Lambuk Kawasaki”.

Program ini dijalankan pada hari Sabtu yang lalu dan bermula di Masjid Al Mujahirin yang terletak di TUDM Shah Alam dengan aktiviti gotong-royong yang telah diketuai oleh Tuan Razali, seorang chef yang juga ahli Kawasaki Owners Group (KOG) yang telah membawa kumpulan ini ke masjid berkenaan di atas jentera Kawasaki Z800 kesayangannya.

Keseluruhan pasukan ini berjaya menyediakan lebih daripada 3,000 paket bubur lambuk yang lazat pada sebelah paginya dan membungkus ke semuanya untuk agihan sekitar kawasan Lembah Klang. Majoriti daripada bubur lambuk ini diagihkan kepada rumah-rumah anak yatim seperti Teratak Nur Barakah di Shah Alam, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Anak Miskin, Klang (PENYAKIN), Rumah Amal Al Firdaus, Shah Alam, dan Persatuan Rumah Perlindungan Hajah Kamariah, Petaling Jaya.

Sebahagiannya telah diagihkan ke Balai Bomba Taman Anggerik dan juga Balai Polis Bukit Jelutong serta di salah sebuah bazar Ramadan terbesar di Selangor yang terletak di Stadium Melawati, Shah Alam. Turut sama dalam usaha agihan bubur lambuk ini adalah Pengarah Urusan KMSB, Dato’ Jeffrey Lim.

Selain daripada agihan bubur lambuk, KMSB bersama dengan ahli kumpulan KOG juga telah memberikan sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim berkenaan sebagai sebahagian daripada program CSR pertama mereka yang akan diteruskan dengan berbagai lagi program yang akan dijalankan pada masa akan datang. Dengan usaha yang dijalankan untuk kebaikan orang ramai, Kawasaki berharap yang ianya akan menggalakkan lagi amal-amal jariah daripada orang awam, dan bak cogan kata mereka, “Let the good times roll”.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]