Wakil perubatan dari FIM, Litar Mugello dan MotoGP semuanya telah mengesahkan bahawa Valentino Rossi cukup sihat untuk berlumba hujung minggu ini di Gran Premio d’Italia Oakley, Mugello.
Berita ini menggembirakan peminat Rossi setelah dia terlibat dalam satu insiden motocross ysng menyebabkan kecederaan serius beberapa hari lalu.
Antara kecederaan yang dialami Valentino Rossi termasuk kecederaan serius pada bahagian dada dan perutnya serta lebam pada bahagian hati dan juga buah pinggang.
Kerabat MotoGP, Valentino Rossi, telah dibenarkan untuk berlumba di perlumbaan hujung minggu ini di Gran Premio d’Italia Oakley. Pengarah perubatan FIM, Dr. Giancarlo di Filippo bersama dengan Ketua Pegawai Perubatan untuk litar Autodromo Del Mugello serta Pengarah Perubatan MotoGP semuanya telah memberi kebenaran untuk wira tempatan Itali ini untuk berlumba di hadapan penyokong tuan rumah pada hujung minggu ini.
Kebanyakan anda mungkin sudah pun mengetahuinya bahawa beberapa hari yang lalu, Rossi telah terlibat dalam satu kemalangan motocross yang telah mengakibatkan kecederaan serius termasuklah kecederaan pada bahagian dada dan juga perut juara dunia MotoGP sembilan kali itu. Malah, telah tersebar berita yang mengatakan Rossi turut mengalami kecederaan patah beberapa tulang rusuknya akibat insiden itu.
Kebimbangan ini ditambah lagi setelah pasukan Movistar Yamaha mengeluarkan beberapa sebaran akhbar menyatakan bahawa pelumba ternama Itali mereka itu sedang mendapatkan rawatan serius dan juga pemulihan namun tidak dinyatakan dalam sebaran itu tentang jangka waktu pemulihan fizikal Rossi atau sama ada dia mampu untuk bertanding di Mugello pada hujung minggu ini.
Para peminat dapat menarik nafas lega apabila ianya diumumkan yang Rossi akan dapat berlumba di acara perlumbaan yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar MotoGP. Walaubagaimanapun, kami tidak begitu pasti sama ada kecederaannya akan memberi kesan pada prestasi keseluruhannya pada hujung minggu ini. Hanya masa sahaja yang dapat menentukan sama ada kemalangan itu memberi kesan negatif kepada ‘The Doctor’ di atas jentera kesayangan Yamaha M1-nya itu.
Persoalan yang seterusnya adalah bagaimanakah rupa helmet istimewa Rossi untuk tahun ini dan adakah ia akan membantu membakar semangatnya untuk memenangi perlumbaan pertamanya bagi tahun 2017 di hadapan penonton tuan rumah. Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran.
Sumber imej: MotoGP