- Pusingan keenam dalam siri perlumbaan WorldSBK musim ini berlangsung di Donington Park hujung minggu lalu menyaksikan Tom Sykes dan Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team) mendominasi kedua-dua perlumbaan, menyumbang kepada kemenangan yang ke-100 dalam kejohanan ini bagi pasukan itu.
- Tom Sykes memenangi Perlumbaan 1 diikuti oleh Leon Haslam (Kawasaki Puccetti Racing) di tempat kedua dan Alex Lowes (Pata Yamaha Official WorldSBK Racing) di tempat ketiga.
- Jonathan Rea bertarung dengan hebat sekali di Perlumbaan 2 dan memenanginya diikuti oleh Tom Sykes dan Chaz Davies.
Ianya merupakan kemenangan yang tidak dapat disangkal lagi di litar tersohor Donington Park buat kedua-dua penunggang pasukan Kawasaki Racing pada hujung minggu lalu di pusingan UK untuk perlumbaan WorldSBK. Selepas keputusan yang tidak diduga bagi Perlumbaan 1 yang menyaksikan Tom Sykes atau “The King of Donington” meraih kemenangan selepas dua penunggang terpantas telah terbabas.
Tom Sykes juga telah mendapat kedudukan podium yang penting di Perlumbaan 2, menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan jarak masa hanya 1.6 saat di belakang pemenang Perlumbaan 2, Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team). Ianya kebangkitan semula Rea dan jentera Kawasaki ZX-10RRnya selepas kemalangan pada Perlumbaan 1 berikutan kerosakan tayar yang menyebabkan dia terbabas. Tidak luntur semangat, Rea bertindak dengan bijak sekali di Perlumbaan 2 dan merangkul kemenangan.
Leon Haslam yang mewakili Kawasaki Puccetti Racing Team mengambil peluang yang ada dan menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kedua di hadapan penyokong tuan rumah. Anak jati ini melakukan tugas yang baik sekali menangkis serangan penunggang-penunggang lain untuk kedudukan P2 termasuklah seorang lagi penunggang tempatan, Alex Lowes (Pata Yamaha Official WorldSBK Team) yang mengisi tempat ketiga.
Namun begitu, nasib tidak menyebelahi Haslam untuk Perlumbaan 2 dimana dia terpaksa bersara dari perlumbaan selepas hanya satu pusingan. Alex Lowes juga jatuh beberapa anak tangga pada Perlumbaan 2, berada di P5 di belakang teman sepasukannya, Michael Van Der Mark. Walaubagaimanapun, ianya satu hujung minggu yang boleh dikatakan memberangsangkan bagi para penunggang Yamaha di Donington Park.
Chaz Davies (Aruba.it Racing – Ducati) juga telah menebus kesilapannya selepas kemalangan di Perlumbaan 1 ketika dia sedang mendahuluinya. Davies dapat meneruskan perlumbaannya itu namun hanya mampu menamatkannya di tempat kelapan. Berazam untuk tidak membiarkan keputusan ini melemahkan tekadnya, Davies di atas jentera Ducati 1199 Panigale R-nya menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ketiga, memastikan penunggang tempatan ini meraih mata yang berharga untuk kejohanan keseluruhan musim ini.
Pusingan ketujuh WorldSBK Pirelli Riviera Di Rimini, Itali akan diadakan pada 16 hingga 18 Jun 2017. Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk segenap berita dunia permotoran.
Sumber gambar: WorldSBK