Berita Gempar: Tiga Motosikal Modenas Baru; Modenas Pulsar RS200, NS200 dan V15

 

  • Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, Ini adalah model-model terbaru motosikal Modenas; Modenas Pulsar RS200, NS200 dan V15.
  • Kedua-dua RS200 dan NS200 dilengkapkan dengan enjin empat lejang satu silinder SOHC dengan sejukan cecair, suntikan bahanapi dan teknologi tiga palam pencucuh untuk menghasilkan 24.5Hp dan 18.6Nm tork.
  • V15 bergaya retro dijana oleh enjin DTS-i 150cc serba baru yang menghasilkan 11.8hp dan 13Nm tork.


Penantian telah pun berakhir. Kami telah berjaya mendapatkan beberapa maklumat yang boleh dipercayai mengenai tiga model Modenas yang terbaru yang akan dilancarkan esok – Modenas Pulsar RS200, Pulsar NS200 dan V15.

Modenas Pulsar RS200 2017

 

Seperti yang dijangkakan melalui pengamatan kami (dari teaser yang dikeluarkan oleh Modenas sendiri), motosikal lumba terbaru ini didasarkan kepada Bajaj Pulsar RS200. Diolah semula untuk pasaran tanah air, Modenas Pulsar RS200 tampak cukup segak bergaya.

Segalanya tentang motosikal Modenas Pulsar RS200 ini menonjolkan perwatakan motosikal lumba. Dari rekabentuk reraup hadapannya sehinggalah ke ekor dan ekzosnya, ianya sebuah motosikal yang tidak jemu dipandang mata selepas anda sudah puas menunggangnya. Jelas sekali ianya sebuah motosikal yang tampak garang yang akan menarik pandangan ramai di jalanan.

Dijana oleh enjin empat lejang satu silinder SOHC dengan sejukan cecair dan teknologi suntikan bahanapi, Pulsar RS200 menghasilkan 24.5hp pada 9,750rpm dan 18.5Nm pada 8,000rpm. Enjin pada kedua-dua Pulsar RS200 dan NS200 telah dilengkapkan dengan teknologi tiga palam pencucuh yang memastikan pembakaran yang cekap dan lancar.

Bahagian hadapan RS200 dilengkapi dengan fork teleskopik dengan bush anti-geseran sementara bahagian belakangnya pula didatangkan dengan penyerap hentakan dengan kanister Nitrox bagi menyerap segala hentakan jalan. Dengan ABS satu saluran dilengkapkan pada cakera brek hadapan 300mm, Rs200 ini dapat memastikan keselamatan penunggangan bersama dengan cakera belakang 230mm.

Jarak penunggangan telah dipanjangkan dengan penggunaan tangki bahanapi 13 liter. Dengan berat keseluruhannya hanya seberat 164kg, motosikal ini dikatakan cukup ringan dan lincah untuk kegunaan harian pergi dan balik kerja atau pun bagi mereka yang ingin mengembara dengannya pada hujung minggu.

Modenas Pulsar RS200 ini dikatakan berharga sekitar RM11,000 (asas dengan GST) dan terdapat dalam dua kemasan warna; Hitam dan Biru. Kami akan kemaskini harga sejurus sahaja kami telah sahkan harganya.

Modenas Pulsar NS200

Bagi mereka yang menggemari motosikal naked pula, anda tidak perlu risau kerana Modenas tidak lupakan anda semua. Modenas Pulsar NS200 adalah varian naked kepada RS200 yang telah dijana oleh enjin suntikan bahanapi, satu silinder 200cc yang sama dengan RS200. Mereka juga berkongsi pakej suspensi yang serupa dengan fork hadapan teleskopik dengan penyerap hentakan belakang mono Nitrox.

Selain daripada reraup hadapan yang diubah (atau, ketiadaannya kerana ini adalah motosikal naked), pakej pembrekannya sedikit berbeza daripada
saudaranya yang ber-reraup penuh. NS200 dilengkapkan dengan cakera hadapan 280mm yang beroperasi secara hidraulik dan cakera belakang 230mm. Tiada ABS untuk model NS200 ini.

NS200 ini juga mempunyai kapasiti bahanapi yang lebih kecil pada 12 liter berbanding dengan RS200 yang mempunyai 13 liter. Dengan berat keseluruhan seberat 155kg, NS200 ini sesuai untuk menyusup di jalan-jalan bandaraya.

Modenas Pulsar NS200 ini berkemungkinan boleh didapati dengan harga di antara RM8,000 ke RM9,000 (asas dengan GST) dan ianya terdapat dalam dua kemasan warna: Hitam dan Merah.

Modenas V15

Tercari-cari sesuatu yang lebih kepada gaya retro? Modenas V15 adalah jawapannya. Tawaran terkini dari Modenas ini cukup sempurna bagi mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza dalam pasaran 150cc yang dipenuhi dengan kapchai dan skuter.

Dijana oleh enjin DTS-i 150cc terbaru, V15 ini didatangi dengan teknologi palam pencucuh berkembar yang menghasilkan 11.8hp pada 7,500rpm dan 13Nm tork pada 5,500rpm. Tema V15 adalah ringkas dan berbagai fungsi, dan ianya dapat dilihat pada pakej suspensinya dengan fork hadapan teleskopik dengan penyerap hentakan belakang.

Kesemua kuasa itu diarahkan kebahagian belakang menuju ke roda 16 inci melalui kotak gear lima kelajuan dengan pacuan rantai terakhir. Roda hadapan 18 inci mengikut tema retro yang digandingkan bersama dengan cakera brek 240mm sementara bahagian belakangnya dilengkapkan dengan brek drum 130mm.

Modenas V15 yang baru ini dilengkapi dengan tangki bahanapi 13 liter. Modenas mendakwa yang perbatuannya pada 57km/l, anda dapat jangkakan yang V15 ini boleh bergerak sejauh 700km sebelum memerlukan isian semula di stesen petrol terdekat. Ianya dapat dicapai oleh kerana berat keseluruhannya hanyalah seberat 136kg.

Motosikal V15 ini juga datang dengan pilihan penutup pelana pembonceng untuk lebih bergaya ketika menunggang secara solo. V15 ini berkemungkinan besar akan boleh didapati dengan harga sekitar RM6,000 (asas dengan GST) dan ianya juga didatangkan dengan dua warna: Hitam dan Putih (kedua-duanya dengan kemasan warna merah).

Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini mengenai tiga motosikal yang mengujakan ini.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]