- Paten baru telah muncul menunjukkan rupa terbaru rekaan motosikal beroda tiga dari Yamaha yang diberi nama Yamaha MWT-9.
- Konsep motosikal beroda tiga ini mula diperkenalkan pada tahun 2015 semasa Pertunjukan Motor Tokyo dan paten terkini mempamerkan versi motosikal ‘naked’ berbanding rekaan asalnya.
- Yamaha telah pun dalam usaha membangunkan MWT-9 dengan rancangan untuk pengeluaran pada suatu hari nanti.
Sejak tersebarnya khabar berita yang Yamaha telah membangunkan Yamaha MWT-9 Concept pada tahun 2015 yang lalu di acara tahunan Pertunjukan Motor Tokyo, mereka telah menerima resepsi yang agak bercampur baur tentang kemungkinan yang motosikal beroda tiga Yamaha ini akan dibikin untuk pengeluaran. Bagi kami di sini, ianya masih satu idea yang amat menarik minat kami dan berdasarkan video mereka di bawah ini, motosikal Yamaha MWT-9 ini semestinya telah mendapat perhatian penuh kami di MotoMalaya.
Menurut Australian Motorcycle News, beberapa buah paten baru telah pun muncul, mendedahkan yang motosikal beroda tiga Yamaha MWT-9 ini mungkin boleh didapati dalam beberapa varian yang berbeza. Seperti mana konsep asalnya yang boleh dilihat dalam video di atas yang menunjukkan motosikal beroda tiga ini dengan rekabentuk separuh reraup, paten yang di bawah pula menunjukkan versi motosikal ‘naked’ untuk jentera ini.
Buat masa ini tiada apa lagi yang boleh diperkatakan tentang Yamaha MWT-9 ini dan hala tujuannya pada masa akan datang namun dari apa yang dapat kita lihat di sini pada rekabentuk patennya yang terkini, projek ini sudah pastinya bukannya sekadar sebuah motosikal konsep yang hanya akan membuat kemunculannya di Pertunjukan Motor sahaja. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Yamaha, motosikal ini akan dibikin untuk pengeluaran pada suatu hari nanti, kita hanya mampu menilai sendiri kesahihan rancangan ini menjadi satu kenyataan barangkali pada penghujung tahun ini ketika Pertunjukan Motor Tokyo 2017 nanti.
Sementara kita nantikan tarikhnya yang akan kunjung tiba nanti, TEKAN SINI untuk melihat kesemua model Yahama yang terdapat di Malaysia, melalui laman eksklusif Bikesrepublic.com, Bike Buyer’s Guide.
Sumber: Australian Motorcycle News