MotoGP: Dani Pedrosa Memenangi Grand Prix Ke-3000 Di Jerez; Marquez Dan Lorenzo Memenuhi Kedudukan Podium

  • Perlumbaan MotoGP ke-3000 menyaksikan Dani Pedrosa (Repsol Honda) kekal sempurna dari awal hingga ke akhir perlumbaan untuk kemenangan yang klasik di Gran Premio Red Bull de España.
  • Marc Marquez (Repsol Honda) dan Jorge Lorenzo (Ducati Team) melengkapkan podium yang dipenuhi dengan penunggang Sepanyol di hadapan penyokong senegara mereka di Jerez.
  • Jorge Lorenzo telah berjaya menduduki podium buat kali pertama di atas jenteranya, Ducati Desmosedici GP17.


Dalam pusingan MotoGP yang penuh dengan insiden dan drama, Dani Pedrosa dari pasukan Repsol Honda yang telah menggondoli perlumbaan ini dengan kemenangan di litar Jerez yang bersejarah di Sepanyol semalam bagi Gran Premio Red Bull de España. Pedrosa yang bermula di petak pertama meluncur dengan pantas dari selekoh pertama lagi sementara kelompok di belakangnya mengharungi perlumbaan yang penuh dengan aksi.

Johann Zarco ( Monster Yamaha Tech 3) yang bermula dari posisi keenam dengan pantas menyelinap melalui kumpulan pertama dengan harapan untuk mengejar pendahulu kumpulan, Pedrosa. Dengan kelebihan awal menggunakan talaan tayar medium, Zarco telah maju ke hadapan melepasi penunggang seperti Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP), Andrea Iannone (Pasukan SUZUKI ECSTAR), malah Marc Marquez (Repsol Honda).

Namun, setelah tayar Zarco mulai merosot selepas pecutan awalnya tadi itu, Marquez membolot kembali kedudukan kedua sementara Jorge Lorenzo mengejar balik ke hadapan kelompok itu sebelum bertarung dengan Zarco bagi kedudukan terakhir di atas podium. Lorenzo akhirnya berjaya memastikan kedudukannya itu selepas melepasi garisan penamat dengan jarak masa tiga saat di hadapan Zarco yang menamatkan perlumbaan di posisi keempat.

Menghampiri 10 pusingan terakhir perlumbaan ini, kelihatan seperti Marquez semakin rapat dengan rakan sepasukan dan senegaranya, dimana dia menggunakan piliha tayar keras berbanding Pedrosa yang memilih untuk menggunakan tayar belakang medium. Namun apakan daya, Pedrosa ternyata lebih lancar dalam penunggangannya dan ini telah memastikan yang tayarnya bertahan sehingga ke penghujung perlumbaan ini.

Jauh di belakang grid perlumbaan ini, telah berlaku banyak insiden terbabas dan kemalangan ke atas penunggang-penunggang seperti Jack Miller (EG 0,0 Marc VDS), Alvaro Baustista (Pasukan Pull&Bear Aspar), Cal Crutchlow (LCR Honda), Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing), Tito Rabat (EG 0,0 Marc VDS), dan Andrea Iannone.

Andrea Dovizioso (Ducati Team) berjaya mengemudi jentera Desmosedici GP17-nya ke kedudukan kelima di hadapan Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP) yang menamatkan perlumbaan di posisi keenam dengan jarak masa setengah saat di hadapan penunggang pasukan OCTO Pramac, Danilo Petrucci.

Seorang lagi penunggang rookie dari pasukan Monster Yamaha Tech 3, Jonas Folger, menamatkan perlumbaan di P8 di hadapan Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini) dan Valentino Rossi yang jelas sekali menghadapi kesukaran dengan talaan keseluruhan jentera Yamaha M1-nya.

Dengan keputusan perlumbaan ini semalam, para penunggang akan menuju ke Perancis untuk HJC Helmets Grand Prix de France di Le Mans dalam masa dua minggu dengan Valentino Rossi masih di tangga teratas kejohanan dengan 62 mata, Maverick Viñales di tempat kedua dengan 60 mata, Marc Marquez di tempat ketiga dengan 58 mata dan Dani Pedrosa dengan 52 mata. Buat masa ini, kedudukan empat teratas hanyalah dipisahkan dengan 10 mata sahaja antara mereka.

Sumber gambar: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]