Acara Amal ‘Ride for Jalil’ Meraih Lebih Daripada RM850,000

  • Hari kedua acara amal ‘Ride for Jalil’ bersambung di Renaissance Hotel di Johor Bahru dimana satu majlis makan tengah hari berlangsung.
  • Aktiviti-aktivitinya termasuk persembahan oleh Black dan Harith Iskander yang juga mengacarakan sesi lelongan barangan yang didermakan oleh skuad bolasepak JDT dan kelengkapan menunggang yang didermakan oleh Tunku Panglima Johor.
  • Acara amal ‘Ride for Jalil’ berakhir dengan jumlah dana terkumpul untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor berjumlah RM850,170.

Lebih daripada 300 penunggang superbike dan motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negeri merentas perjalanan sekitar daerah dalam negeri Johor untuk acara amal ‘Ride for Jalil’ pada hari Sabtu yang lalu. Perjalanan ini diketuai oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Acara ini bersambung pada hari kedua di Renaissance Hotel di Johor Bahru dimana mereka telah mengadakan beberapa aktiviti untuk meraih dana untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF).

Acara hari kedua dimulakan dengan tayangan montaj menayangkan perihal hari pertama penunggangan dimana keseluruhan konvoi memulakan perjalanan dari Muar ke Hamawangsa Auto Mall, Batu Pahat. Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke Dataran Kluang dan hentian terakhir konvoi ini adalah Litar Johor yang ternama di Pasir Gudang sebelum mereka menuju ke Johor Bahru untuk rehat dan riadah di hotel-hotel yang ditetapkan.

TEKAN SINI untuk membaca dengan lebih lanjut tentang hari pertama acara amal ‘Ride for Jalil’.

Semasa majlis makan tengah hari itu, Black(Mentor) telah memberikan persembahan yang menyentuh hati dimana dia telah mendendangkan beberapa buah lagu, antaranya ‘Jeritan Batinku’ yang meninggalkan kesan mendalam kepada para hadirin. Komedian ternama tempatan, Harith Iskander kemudiannya meriuhkan lagi suasana dengan persembahan ‘stand up’ nya yang berkaitan dengan motosikal.

Majlis diteruskan dengan satu sesi lelongan yang diacarakan oleh Harith Iskander. Sesi lelongan ini dimulakan dengan beberapa barangan berharga dan memorabilia yang didermakan oleh pasukan bolasepak JDT termasuk jersi bolasepak dan bola yang telah ditandatangan oleh seluruh ahli pasukan, patung kecil, sepasang but bolasepak, dan telefon pintar JDT.

Bahagian kedua lelongan pula berkaitan kelengkapan menunggang yang telah didermakan oleh Tunku Panglima Johor termasuk sepasang sarung tangan Dainese yang dipakai semasa perjalanan hari Sabtu itu, Jaket kulit Ducati dan satu sut perlumbaan. Kesemua tawaran disalurkan ke TLJCF.

Pada pengakhiran majlis makan tengah hari itu, pihak penganjur bersama Tunku Panglima Johor mengumumkan bahawa dana sejumlah RM850,000 (secara tepat, RM850,170) telah berjaya dikumpul. Acara amal ‘Ride for Jalil’ terbukti berjaya dengan terkumpulnya hampir sejuta ringgit dalam masa dua hari yang suntuk ini.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka yang menderma dan menglibatkan diri dalam acara ini dan kami yakin bahawa tunggangan amal ‘Ride for Jalil’ akan terus berkembang pada masa hadapan.

Galeri Tunggangan Amal ‘Ride for Jalil’ (Hari 2)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]