- Juara Asia Road Racing Championship (ARRC) 2016 meraih kemenangan di Litar Johor pada hari Sabtu
- Penunggang MUSASHi Boon Siew Honda ini menunggang Honda CBR600RRnya ke garisan penamat dan memenangi Perlumbaan 1 bagi 2017
Penunggang MUSASHi Boon Siew Honda dan juga Juara FIM Asia Road Racing Championship 2016 Zaqhwan Zaidi memulakan pembelaan kejuaarannya bagi tahun 2017 dengan sempurna sekali melalui kemenangan dalam Pusingan 1 untuk kategori SuperSports 600cc Asia. Bermula dari petak pertama, penunggang 22 tahun dari Selangor, Malaysia ini memperoleh kemenangan yang mencabar serta memuaskan selepas pertarungan sengit dengan naib juara pusingan, Taiga Hada dari pasukan RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 dari Jepun.
Dengan keadaan yang mencabar di Litar Johor untuk tiga hari pertama latihan, Zaqhwan sekali lagi mengingatkan semua orang mengapa dia merupakan juara tahun lalu semasa mengemudi jentera Honda CBR600RRnya. Setelah mencatatkan masa terpantas bagi dua daripada tiga sesi latihan, dia kemudiannya meneruskan momentumnya dalam Perlumbaan 1 dengan hanya 0.739 saat di hadapan Taiga Hada.
“Keadaan cuaca telah merumitkannya bagi kami semua. Disebabkan oleh hujan pada hari sebelum ini, terdapat kesan lumpur di beberapa tempat di atas litar. Saya fikir ketidaktentuan mengenai cengkaman memperlahankan semua orang. Keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam kelayakan dan penentuan perlumbaan esok (Sabtu),” ujarnya.
Tempat terakhir atas podium milik seorang lagi penunggang Jepun, Yuki Ito dari pasukan Yamaha Racing yang melintasi garisan penamat pada 3.552 saat di belakang pemenang perlumbaan. Penunggang bernombor 76 itu menghabiskan perlumbaan ini bagaikan tanpa gangguan di hadapan seorang lagi penunggang negara, Azlan Shah Kamaruzaman. Tontonilah sorotan perlumbaan di bawah.
https://youtu.be/xkiy1w7ramA?t=290
Azlan Shah yang meneruskan karier perlumbaannya dalam ARRC dengan pasukan Manual Tech Kawasaki Racing mempamerkan keputusan yang hebat di tempat ke-4. Penunggang berusia 33 tahun berasal dari Klang ini mengatakan bahawa pilihan tayar yang salah untuk perlumbaan ini sebagai punca mengapa dia melintasi garisan penamat dengan jarak masa sebanyak 8.031 saat di belakang Zaqhwan Zaidi.
Para penunggang akan turun ke litar kembali pada hari Ahad untuk Perlumbaan 2 yang akan bermula pada pukul 3 petang waktu tempatan. Teruskan bersama MotoMalaya bagi perkembangan lanjut ARRC.
Hari ni hari honda