Essence Motorcycles Keluarkan Motosikal Elektrik bernilai RM250,000

Advertisements

 

  • Essence Motorcyles yang berasal dari Lyon, Perancis telah membangunkan sebuah motosikal elektrik dinamakan “E-Raw”
  • 167kg, 107hp dan 180Nm tork
  • Pengecasan selama 30 minit membolehkan perjalanan sehingga 185km

Pengilang yang kecil dan eksklusif yang bertapak di Perancis dipanggil Essence Motorcycles telah mencipta sebuah motosikal elektrik radikal yang dinamakan ‘E-Raw’. Apakah keistimewaan motosikal yang baru ini? Pertama sekali, Essence Motorcycles hanya akan mengeluarkan sepuluh buah jentera ini dan ianya akan menelan belanja sejumlah €55,000 (sekitar RM250,000).


Pada masa kini, semakin ramai pengilang yang mengujikaji dan mengeluarkan motosikal yang dijana oleh kuasa elektrik bagi menghadapi kemungkinan yang
suatu hari nanti, dunia akan kehabisan petroleum. Dan dengan keinginan dan nafsu untuk kelajuan di atas dua roda masih lagi menebal dalam sanubari kita,
kebanyakkan daripada kita tidak dapat dan tidak akan menerima fakta bahawa jangka hayat enjin pembakaran dalaman yang disayangi sudah hampir tiba
penghujungnya.


Martin Hulin (Pengasas Eseence Motorcycles) adalah salah seorang daripada orang yang diperkatakan. Selepas bertahun menjalankan ujikaji, beliau akhirnya telah membina satu prototaip E-Raw yang berfungsi penuh. Dengan bantuan media sosial, berita tentang motosikal ini tersebar luas ke sepelusuk dunia dan kini, versi 3.1 telah sedia untuk pengeluaran secara mikro.


Dengan objektif untuk merekabentuk sebuah motosikal yang ringkas dan pada masa yang sama, buas dan mengasyikkan, Martin menggabungkan aspek terbaik dari teknik dan bahan tradisional dan moden dalam pembuatan motosikal elektrik ini. Contoh paling ketara dapat dilihat pada pembuatan pelana buatan kayu motosikal ini, yang direka mengikut susuk lengkungan motosikal ini menggunakan teknik yang sama dalam pembuatan papan luncur air.

Pendekatan yang lebih moden digunakan dalam rekaan kerangka keluli trellis dengan ‘swingarm‘ aluminiumnya. Setiap satu bahagian motosikal ini direka untuk membuat motosikal E-Raw ini tertumpu sebanyak yang mungkin di sekeliling kerangka ini. Tugas yang tidaklah begitu mencabar jika dibandingkan dengan penat lelah yang mereka terpaksa lalui dalam usaha menyembunyikan segala komponen dan pendawaian untuk penekanan tambahan kepada rupa minimalistik motosikal ini.


Satu set suspensi Ohlins dipilih bagi menyerap sebarang kecelaan jalan dan ianya disambungkan dengan rim tayar 17 inci Excel dan juga sistem brek
Beringer. Baterinya dibuat oleh Pierre-Yves yang menggunakan sistem pengecas pantas CCS yang membolehkan perjalanan sehingga 185km dengan pengecasan selama 30 minit.


Palang pemegangnya dilengkapi dengan suis-suis dan tuil brek seperti mana-mana motosikal biasa kecuali pada tuil sebelah kiri yang mengaktifkan sistem
pembrekan jana semula motosikal ini. Ianya juga tanpa speedometer kerana sebarang maklumat yang diperlukan semasa menunggang akan disampaikan
melalui telefon pintar penunggang.


Menurut BikeExif, motosikal elektrik ini mampu menjana sehingga 107hp dan 180Nm tork. Angka-angka ini mirip yang dihasilkan motosikal supersports seperti yang dihasilkan oleh Yamaha R6 2017 dan Ducati Monster 821, kesemuanya menjana kuasa yang lebih kurang sama namun E-Raw menghasilkan tork lebih tinggi (lebih 100Nm daripada R6 dan Monster!). Motosikal ini juga mampu mencecah sehingga 155km/j dan dari kedudukan pegun ke 100km/j hanya mengambil masa 3.5 saat.


Sama ada suka mahu pun tidak, kita tidak dapat nafikan yang elektrik adalah kuasa yang akan menjana masa depan dan syarikat seperti Essence Motorcycle telah mengimbangkan antara rupa motosikal yang cukup indah tanpa menginjaknya terlalu jauh ke masa hadapan. Walaubagaimanapun, untuk masa sekarang syarikat pengeluar ini hanya bercadang menghasilkan sepuluh buah motosikal ini untuk menguji pasaran bagi motosikal berkuasa elektrik yang berharga sekurang-kurangnya RM250,000. Persoalannya, adakah anda ingin memperbelanjakan suku juta ringgit untuk motosikal ini? Bagi penulis, jika berkemampuan, semestinya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Essence Motorcycles, anda boleh melawat sama ada laman sesawang, Facebook, atau Instagram mereka.

Sumber gambar : Essence Motorcycles

13 Replies to “Essence Motorcycles Keluarkan Motosikal Elektrik bernilai RM250,000”

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.