Ulasan: 2016 CMC Italjet 125: Kebangkitan semula nama Italjet? – RM6,996 (asas termasuk GST)

img_4999-1

Jika anda telah mengharungi zaman antara lewat 90an dan awal 2000, anda juga mungkin telah melihat atau sendiri terlibat dalam zaman kegemilangan skuter sukan atau ‘sport scooters’ yang menjadi salah satu kegilaan remaja-remaja. Pada waktu itu, jika anda membawa skuter Gilera Runner atau yang lebih hebat dan ‘rare’ iaitu Italjet Dragster, anda secara automatik dianggap hebat atau ‘cool’.

Tetapi seperti jenama-jenama dari Itali yang lain, kehangatannya semakin lama semakin berkurang menyebabkan skuter-skuter sukan dari Itali ini menjadi barang koleksi antara peminat-peminat skuter tegar. Pihak kami mendapat peluang untuk menguji jentera ini sama ada ia layak untuk diberi nama “Italjet”.

Setelah sekian lama nama ‘Italjet’ itu tersimpan dalam buku sejarah skuter sukan termasyhur, kini nama itu kembali semula dalam bentuk 2016 CMC Italjet 125 yang telah dilancarkan beberapa bulan yang lalu. 

img_5162

Pada dasarnya, syarikat CMC milik China ini telah mendapat lesen untuk menghasil dan menjual jenama ‘Italjet’ sepenuhnya. Skuter ini dan juga motor-motor CMC yang lain dipasang di tanah air Malaysia oleh MOMOS (Mofaz Motorsikal Sdn Bhd) dan diedarkan oleh Chear Global Sdn Bhd.

Menarik pada mula tetapi dari anggapan awal, ramai peminat-peminat tegar tidak berapa berminat pada skuter ini hanya kerana nama ‘Italjet’ telahpun dianggap kategori skuter yang paling masyhur dalam sejarah dunia skuter sukan. Kami disini ingin menyelesaikan segala keraguan melalui sesi pandu uji bersama skuter CMC ini.

‘Italjet’ yang asal rekaan Alessandro Tartarini sangat menusuk jiwa dengan reka bentuk yang cantik dan juga agresif. Dari aspek ini, CMC juga berjaya menghasilkan aura yang sama dengan Italjet mereka tersendiri. Lebih hebat lagi, lampu hadapan LED penuh juga telah dimasukkan ke dalam reka bentuk yang lebih moden.

img_5146

Dari aspek luaran, unit pandu uji merah menyala ‘Chilli Red’ kami ini bersama rim hitam aloi 13 inci ini tampak sungguh menarik. Tulisan ‘racing’ di bahagian tepi skuter ini mungkin tidak diperlukan tetapi sekali pandang di bahagian hadapan, ramai akan teringat kepada superbike Ducati Panigale.

Disebalik luaran yang indah, bahagian dalaman skuter ini menceritakan sesuatu yang sedikit berbeza. Kebanyakan bahagian plastik yang terdapat pada skuter ini nampak sedikit murah dan berkualiti rendah tetapi jika dibandingkan dengan harga motor ini yang agak berpatutan, anda mungkin akan memahami.

Tempat duduk skuter ini sedikit keras pada mulanya tetapi agak selesa selepas dipandu uji oleh pihak kami. Apa yang membuat skuter sukan ini lebih menarik adalah speedometer yang besar dan senang untuk difahami. Skrin digital berlampu merah juga telah dimasukkan ke dalam pakej meter Italjet ini.

img_5141

Skuter 125cc satu silinder ini dapat dihidupkan dengan senang dengan pengunaan penghidup atau ‘starter’ elektrik. Walaupun dengan rupa bentuk dan kelengkapan yang agak moden, sistem bahan api jenis karburetor menjadi pilihan CMC. Pada kami, teknologi ini sedikit lama ataupun purba jika dibandingkan dengan kewujudan sistem bahan api jenis suntikan (fuel injection) yang kini semakin popular dikalangan pengeluar-pengeluar motorsikal.

Walaubagaimanapun, enjin 4 lejang berkuasa 8.85hp dan juga tork maksimum 8.6Nm mampu menggerakkan motor ini dengan senang tanpa sebarang masalah. ‘Pickup’ atau daya pecutan skuter ini agak tinggi membuatkan ia senang untuk memecut lebih-lebih lagi didalam kawasan bandar. Reka bentuk dan prestasi yang agak menarik jika dibandingkan dengan skuter-skuter dari Jepun yang sewaktu dengannya.

Namun menarik, gegaran yang agak kuat dapat dirasai dari skuter ini. Kekurangan peredam gegaran pada enjin dan transmisi V-belt automatik dengan kombinasi bunyi yang agak nyaring membuatkan skuter ini sedikit tidak selesa, lebih-lebih lagi pada RPM yang tinggi.

img_5155

Walaupun begitu, kami tidak terkejut kerana harga yang ditawarkan agak rendah untuk pakej skuter ini. Disebalik gegaran dan bunyi yang sedikit kuat, daya pengendalian skuter ini boleh tahan juga. Dengan berat yang sedikit rendah dan juga brek cakera lengkap di hadapan dan juga belakang, motor ini mampu dihentikan dengan senang tanpa sebarang masalah.

Sistem suspensi yang ditawarkan dalam pakej motor ini berfungi dengan lancar tetapi masih banyak lagi ruang untuk pengubahsuaian yang boleh membuatkan prestasi motor ini lebih selesa. Jika anda seorang peminat skuter yang tegar, terdapat banyak cara untuk meningkatkan lagi prestasi motor ini lebih-lebih lagi dengan pasaran komponen-komponen berprestasi tinggi seperti sistem suspensi, ekzos dan lain-lain.

Perkara yang sama juga dapat ditekankan kepada tayar yang dipasangkan pada CMC Italjet 125 ini. Tiada sebarang masalah jika dibawa tegak tetapi daya cengkaman kurang ketika membelok dengan skuter ini. Jika diberi pilihan, tayar adalah perkara pertama yang patut ditukar kepada jenis yang lebih elok. Ini adalah sesuatu yang patut dipraktikkan dalam pembelian mana-mana kenderaan tidak kira baru atau pun terpakai.

Bahagian simpanan di bawah tempat duduk CMC Italjet 125 ini agak menarik bagi kami kerana ia mampu menyimpan sebuah helmet jenis ‘full face’ (saiz sederhana) dengan senang. Agak menarik disitu.

img_5169

Harga yang ditawarkan untuk sebuah CMC Italjet 125 ini adalah RM6,996 (harga asas bersama GST). Waranti 1 tahun atau 10,000km juga diberi dalam pakej pembelian ini.

Jika anda adalah seorang peminat skuter sukan dari dulu kala, penjelmaan semula nama ‘Italjet’ ini mungkin tidak sehebat Italjet Dragster yang asal lebih kurang 10 tahun yang lalu. Namun begitu, reka bentuk skuter yang cantik dan agresif ini adalah sesuatu yang mungkin layak diberi nama ‘Italjet’.

img_5150

Bagi pihak pengguna yang lain, reka bentuk ini memang jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan skuter-skuter Jepun yang sewaktu dengannya seperti Honda Air Blade atau Yamaha Ego LC. Dengan harga yang lebih kurang sama, anda mendapat reka bentuk yang cantik dan kemungkinan juga prestasi yang sedikit tinggi.

Juga perkara yang patut ditekan dalam jika anda meragui skuter ini, Chear Global juga syarikat yang mengedarkan MV Agusta dan juga mempunyai beberapa pengedar BMW Motorrad di Malaysia. Dengan ini, anda tidak perlu risau dengan isu penyelenggaraan (maintenance) jika anda memiliki sebuah CMC Italjet 125 keluaraan tahun 2016 ini.

 

 

img_4999-1 img_5169 img_5019 img_5163 img_5162 img_5155 img_5150 img_5146 img_5141 img_5138 img_5137 img_5065 img_5055 img_5047 img_5021

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]