Boon Siew Honda telah menganjurkan sesi pandu uji keluaran terbaru mereka iaitu 2016 Honda RS150R untuk pihak media pada Sabtu lepas ketika Pusingan ke-5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2016 berlangsung di Teluk Intan, Pahang Perak. Pihak kami telah mendapat peluang keemasan untuk mencuba motor kapcai premium 150cc pertama dari Honda yang telah dilancarkan Jun lepas.
Nota: Artikel ini 100% ditulis oleh ahli baru – Sep Irran Halid
Pihak kami telah diberi 2 sesi pandu uji yang berbeza, iaitu sesi 30 minit di jalan awam sekitar Bandar Teluk Intan dan juga sesi 3 pusingan keliling litar cub prix tersebut. Turut sertai sesi uji di litar adalah Raja Litar Basah, pelumba kategori Moto3, Khairul Idham Pawi.
Beberapa ciri-ciri premium yang terdapat pada jentera ini adalah enjin DOHC 150cc yang mampu menghasil kuasa maksimum 11.5kW (15.6PS) pada 9000RPM dan juga 13.5N/m tork maksimum pada 6500RPM. Segala kuasa ini dipindahkan dengan pertolongan trasmisi manual 6 kelajuan jaringan malar (six-speed constant mesh gearbox).
Sistem bahan api PGM-FI (Suntikan Bahan Api Terancang) membantu dalam pergerakan jentera ini yang juga mampu menjimat kegunaan petrol dan juga mesra alam. Semua ini dalam pakej harga yang agak sesuai bagi saya iaitu antara RM8,213.94 hingga RM8374.94 (model Repsol).
Pada pandangan pertama, saya dapat melihat bahawa rekabentuk jentera ini sangat moden dan agresif. Terus-menerus saya jatuh cinta dengan warna Biru Matt kerana warna dan rekabentuk tersebut mengingatkan saya kepada karakter ‘Iron Patriot’ di dalam filem ‘Ironman 2’. Boon Siew Honda telah menawarkan 4 warna berbeza khas untuk Honda RS150R oleh iaitu Hitam Matt, Biru Matt, Merah Metalik dan juga Repsol.
Tanpa melengahkan masa lagi, saya terus mulakan sesi ‘test ride’ pertama bersama rakan seperjuangan (Thoriq) di jalan awam sekitar Bandar Teluk Intan. Pada waktu itu, terdapat banyak kenderaan dan sesakan lalulintas di kawasan Bandar kerana ramai ingin hadir untuk menyaksikan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2016 berdekatan Stadium Mini Teluk Intan.
Walaupun begitu, kapcai ini dapat mencelah antara kereta-kereta dengan senang dan berjaya mengelakkan sesakan lalulintas. Tahap pengawalan dan juga saiz motor ini amat sesuai untuk kawasan dalam bandar. Akan tetapi, saya dapat merasa motor ini sedikit kasar pada kelajuan atau RPM yang rendah yang agak jelas ternyata antara pertukaran gear. Bagi yang biasa membawa motor 4-lejang berklac, mungkin ini adalah isu kecil.
Namun begitu, setelah saya berjaya melepasi sesakan lalulintas dan terus ke jalan yang agak lengang, motor ini terserlah keindahan enjin ketika mencecah 9000 RPM dan bermain sehingga gear ke-6. Gandingan enjin dan transmisi Honda ini berjaya membuat saya tersenyum-senyum, lebih-lebih lagi bila melihat meter RPM digital canggih yang turut menunjukan kelajuan 120km/j dan posisi gear ke-6. Sangat memuaskan.
Dengan enjin DOHC, jentera ini mungkin mampu dibawa dengan lebih laju (anggaran sekitar 135km/j) tetapi pada pendapat saya, motor ini direka khas lebih untuk penggunaan optimum dari kelajuan maksimum.
Pada sesi pandu uji yang kedua, kami berpeluang untuk membawa jentera ini keliling litar cub prix bersama pelumba Moto3, Khairul Idham Pawi. Jelas ternyata Khairul Idham dapat membawa kapcai premium ini dengan lancar dan senang keliling litar 1.306km ini tetapi bukan cerita yang sama bagi pihak saya.
Ketika didalam litar, saya dapat merasa kuasa motor ini yang berfungsi secara optimum dan sungguh lancar sekitar 9000RPM. Tetapi bila tiba di selekoh – selekoh, pakej brek hadapan Honda ini kurang sedikit cengkaman walaupun saiz brek cakera hadapan adalah 296mm. Walaupun begitu, gabungan penggunaan brek depan dan belakang 190mm berjaya menstabilkan motor ini ketika mengelilingi litar cub prix ini.
Saya juga berpendapat bahawa sistem brek cakera depan akan menjadi lebih sempurna jika digunakan dalam jangka masa yang panjang. Brek masih baru dan belum mantap mungkin adalah faktor utama mengapa kurang cengkaman ketika masih baru.
Saya juga sangat kagum dengan pakej suspensi yang telah disediakan pada motor ini. Suspensi teleskopik depan dan monosok belakang yang moden berjaya menyerap segala ketidaksempurnaan jalanraya. Tiada rasa goyang membuat saya rasa sungguh yakin dan senang hati dalam apa jua situasi di jalan yang lengang mahupun jalan berlekok. Sungguh stabil.
Bagi sebuah kapcai 150cc, pakej tayar yang telah dipasang adalah agak besar (90/80-17 46P untuk tayar depan dan 120/70-17 58P untuk tayar belakang) yang memberi rasa yang sangat selesa dan positif. Saiz tayar-tayar ini juga menambahkan lagi imej ‘sporty’ motor ini yang lebih segak dan juga agresif.
Dari sudut pengalaman jangka masa pendek saya bersama Honda RS150R ini, saya dapat merasakan bahawa cub premium pertama hasil Boon Siew Honda ini adalah pakej jentera yang sangat bagus. ‘Habitat’ yang sesuai untuk kapcai ini perjalanan antara bandar melalui lebuhraya. Jarak jauh dari KL ke Seremban mungkin dapat diredah dengan senang tanpa masalah.
Prestasi yang agak optimum dapat memberi rasa yang selesa dan pada yang sama, rupa yang agak menarik jika dibandingkan secara kasar dengan kapcai-kapcai moden yang lain.
Dalam impresi awal ini, saya amat berminat dengan Honda RS150R ini jika dibandingkan dengan saingan terdekat, iaitu Yamaha Y15ZR. Namun masih awal lagi untuk membuat sebarang pertimbangan antara mereka dengan lebih mendalam.
Honda RS150R sudah boleh didapati di mana-mana ahli niaga Boon Siew Honda bermula dari bulan ini. Harga yang ditawarkan adalah antara RM8,213.94 hingga RM8374.94.
Galeri 2016 Honda RS150R