Tanggapan Pertama: Modenas Dominar 400; Beserta Video!

 


Artikel oleh: Keshy Dhillon.

Ini adalah motosikal Bajaj Dominar 400 – sebuah motosikal satu silinder 373cc yang dikelaskan oleh Bajaj sebagai sebuah motosikal ‘sports touring‘. Ia mungkin tampak jinak dan ramah, dan ini adalah kerana ianya sebuah motosikal yang cukup mesra untuk ditunggangi.

Dalam satu lawatan yang telah diadakan baru-baru ini ke kilang Bajaj di Pune, India, kami telah diberikan peluang untuk menunggang motosikal ini mengelilingi litar ujian pengeluar tersebut – sebuah litar dengan jarak 2.9 kilometer dengan satu laluan lurus sepanjang satu kilometer, selekoh yang tajam dan lancar, dan segalanya yang diperlukan bagi menguji kemampuan sebarang motosikal.

Motosikal Dominar 400 ini cukup hebat sekali di atas litar, mudah dijangka dan jitu. Walau bagaimanapun, tayar standardnya tidak mencapai tahap yang sepatutnya, namun, ianya akan digantikan dengan tayar Metzeler apabila motosikal ini tiba di Malaysia, jadi, selesai sudah masalah itu. Agak menghairankan mengapa Bajaj menggelar motosikal Dominar ini sebagai sebuah motosikal ‘tourer‘, kerana ia barangkali boleh sekali menjadi sebuah motosikal lumba kelas pertengahan ‘naked‘. Tetapi, jika difikirkan kembali, ianya sebuah motosikal yang cukup berkebolehan untuk melakukan segalanya.


Jadi, mengapakah kami menunggang motosikal ini, dan atas sebab apakah kami memberitahu anda semua ini?

Mari kita imbau kembali ke bulan Mei tahun ini, di mana Modenas telah melancarkan tiga model terbaru, dan mengumumkan kerjasama mereka dengan pengeluar motosikal ketiga terbesar di dunia – Bajaj.

Pada masa itu, Modenas telah memperkenalkan motosikal lumba Pulsar RS200, varian ‘naked‘nya, Pulsar NS200, beserta dengan motosikal V15, sebuah motosikal ala cafe racer yang direka untuk kegunaan seharian dengan ekonomi bahanapi yang menakjubkan. Ke semua ini merupakan motosikal Bajaj yang telah dijual di Malaysia di bawah jenama Modenas.

Kebanyakan orang dengan pantas mengkritik Modenas kerana menjenamakan semula motosikal dari India ini dan tidak membangunkan motosikal keluaran mereka sendiri. Orang ramai selalunya terlalu cepat meluahkan pendapat mereka tanpa benar-benar memahami topik yang diperkatakan.

Penjenamaan semula adalah satu langkah yang amat bersesuaian pada masa ini, dan banyak pengeluar motosikal dan kereta yang telah melakukannya. Mengapa perlu melabur sejumlah modal yang besar dan tempoh masa yang lama apabila ada yang lain yang telah menghasilkannya? Bajaj mempunyai motosikal yang cukup sesuai sekali untuk pasaran Malaysia, dan Modenas pula mempunyai imej dan kemampuan selepas jualan bagi menyokong motosikal ini di Malaysia. Ianya satu gabungan yang cocok sekali, bagaikan pinang dibelah dua, dan Modenas telah pun menjual kira-kira 2,000 buah motosikal-motosikal ini dalam tempoh masa empat bulan. Kerjasama antara Modenas-Bajaj ini adalah satu kejayaan, namun, bak kata budak-budak hipster sekarang – “haters gonna hate“!

Motosikal Bajaj Dominar 400 ini akan diperkenalkan di pasaran Malaysia sekitar suku pertama tahun 2018. Ianya sebuah motosikal yang akan membawa Modenas ke pasaran yang lebih tinggi, melangkaui model kebiasaan mereka, dan bakal menjadi motosikal besar pertama yang akan diperkenalkan sejak motosikal Jaguh pada tahun 90-an.

Enjin satu silinder, 373cc, tiga palam pencucuhnya itu bermakna yang motosikal Dominar 400 ini bakal bersaing dengan motosikal-motosikal seperti KTM 390 Duke dan BMW G310R. Tetapi, dengan tanda harganya yang dijangkakan berada di bawah tahap RM25,000, motosikal Dominar 400 ini adalah motosikal yang patut diberikan perhatian oleh KTM dan BMW pada tahun hadapan.

Malah, satu fakta yang menarik mengenai enjin bagi kedua-dua motosikal Dominar dan motosikal KTM 390 Duke adalah kedua-duanya dibina bersebelahan di kilang pengeluaran Bajaj di Pune. Motosikal Dominar 400 menawarkan 32hp dan 35Nm tork, manakala kotak gearnya adalah sebuah unit enam kelajuan yang digandingkan dengan klac ‘slipper‘ bagi memastikan yang roda belakangnya tidak akan terkunci. Menyebut tentang aspek keselamatannya, Dominar 400 ini juga menawarkan ABS dwi saluran – Ini bermakna kedua-dua roda hadapan dan belakangnya didatangkan dengan brek ABS.

Tanggapan pertama mengenai motosikal ini cukup baik sekali, walaupun dengan beratnya pada tahap 182kg, motosikal dengan mudah sekali menangani selekoh. Suspensinya juga agak bagus dengan fork teleskopik di bahagian hadapan dengan ruang gerakan sebanyak 43mm, dan sebuah penyerap hentakan boleh laras di bahagian belakangnya, memberikan anda pengubahsuaian suspensi yang mencukupi untuk disesuaikan dengan gaya penunggangan anda.

Pelananya terasa cukup selesa sekali untuk penunggangan jarak jauh, dan tangki bahanapinya yang sebesar 13 liter itu mampu memberikan anda jarak sehingga 300 kilometer sebelum anda perlu berhenti untuk isian semula.

Motosikal Bajaj Dominar 400 ini merupakan sebuah motosikal yang serba boleh dan menjanjikan dirinya sebagai teman yang baik buat mereka yang sedang mencari sebuah tunggangan berulang alik harian mahu pun sebagai jentera untuk pengembaraan hujung minggu. Pasangkan sahaja penghadang angin dan beberapa buah kotak GIVI dan ianya akan mengembara bersama anda. Kini, yang berdiri di antara motosikal ini dan kejayaan gemilangnya di Malaysia adalah tanda harganya, tetapi, dengan kesungguhan pasukan di Modenas untuk menjadikannya satu lagi kisah kejayaan mereka – anda boleh menjangkakan yang ianya akan ditetapkan pada harga yang amat kompetitif

Teruskan setia bersama kami untuk perkembangan terkini mengenainya!

 

Leave a Reply