Konvoi Modenas ke Melaka: Pandu Uji Modenas Elegan 250(RM13,599.80), Karisma 125(RM5,278.80) dan Kymco Downtown 250i(RM22,790)

Mengikuti majlis pelancaran skuter-skuter terbaru keluaran Modenas pada November tahun lepas, pihak Modenas telah mengaturkan satu sesi ujian bagi pihak media. Sesi ini telah memberi peluang kepada kami untuk menguji secara keseluruhan skuter-skuter terbaru iaitu Modenas Elegan 250 dan Modenas Karisma 125. Skuter Kymco Downtown 250i juga turut sertai konvoi ini dimana semua produk Kymco di Malaysia akan dipasang oleh Modenas.

Acara yang diaturkan pada 21 Februari 2017 bermula dari Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) di Glenmarie, Shah Alam. Terdapat lima motorsikal yang menyertai konvoi ini termasuk sebuah kapcai Modenas CT115S. Kami mulakan perjalanan dari Glenmarie terus ke perhentian pertama iaitu Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Negeri Sembilan.

Saya dapat menguji Modenas Elegan 250 dan mendapati bahawa ia agak selesa bagi perjalanan jauh, terutama sekali di lebuhraya. Walaupun sedikit berat untuk mencapai kelajuan lebuhraya maksimum yang telah ditetapkan, Elegan 250 ini tidak memberi sebarang masalah dengan adanya kuasa 22.1hp dan sistem penyejukan enjin jenis cecair.. Komen yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah posisi tempat letak kaki dimana mereka yang sedikit tinggi akan merasa ia sedikit tinggi dan memberi postur yang kurang selesa.

Setelah tiba di R&R Seremban, kesemua penunggang menukar motorsikal masing-masing dan dari Seremban ke Pengkalan Balak Melaka. Saya berpeluang untuk menguji kapcai Modenas CT115S di jalan kampung yang telah dipilih untuk sesi kedua melalui Pedas / Linggi. Jika dibandingkan CT115S dan skuter-skuter lain yang mempunyai enjin 125cc dan 250cc, saya dapat merasai jalan kampung dari Pedas ke Pengkalan Balak ini memberi sensasi keseronokan yang unik apabila menunggang kapcai CT115S ini.

Kemungkinan besar kerana sebuah kapcai memberi peluang untuk bermain dengan pilihan gear dan RPM enjin yang tidak mampu dilakukan pada mana-mana skuter. CT115S juga mempunyai soket jenis 12V dibawah tempat duduk dimana anda boleh mengecas peralatan elektronik seperti telefon pintar sewaktu perjalanan. Tangki agak kecil dan hampir kehabisan petrol setelah tiba di lokasi seterusnya.

Setelah selesai makan tengahari, kami terus ke Bandar Melaka untuk sambungan acara seterusnya di Imperial Hotel dimana terdapat sesi temubual secara santai bersama CEO Modenas, Encik Amirudin Abd Kadir. Kami berpeluang untuk bertanya secara terperinci berkenaan rancangan Modenas bagi tahun 2017.

Apa yang kami dapat tahu adalah Modenas akan melancarkan ENAM model baru termasuk skuter, kapcai dan street bike. Salah satu model terbaru ini adalah sebuah kapcai 150cc yang akan menjadi pesaing hebat dengan Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Jelas ternyata tahun 2017 adalah tahun yang besar dan bagus untuk membeli sebuah motorsikal dari Modenas.

Petang yang sama juga memberi peluang untuk mencuba Kymco Downtown 250i dan Modenas Karisma 125. Kymco Downtown ini mempunyai pickup yang lebih bagus jika dibandingkan dengan Elegan 250. Kymco Downtown mempunyai dua injap lebih dari Elegan 250. Kalau digunakan untuk perjalanan di lebuhraya, memang Downtown ini amat sesuai akan tetapi ia sedikit sukar untuk dikawal apabila masuk ke dalam kawasan bandar dengan kesesakan lalu lintas. Jika anda berada di kawasan yang mempunyai banyak lampu isyarat, Downtown 250i memang seronok untuk dibawa.

Situasi bandar yang sentiasa sesak dengan lampu isyarat dan kesesakan lalu lintas adalah tempat yang sungguh sesuai jika anda menggunakan Modenas Karisma 125. Dengan enjin yang bagus dan reka bentuk yang kecil, sungguh senang dan selesa untuk mencelah melalui kenderaan jika dibandingkan dengan Elegan atau Downtown jenis maxi-scooter yang lebar dan panjang.

Untuk perjalanan jauh, tidak dapat dinafikan tangki petrol 12.5 liter yang terdapat pada Elegan 250 dan Downtown 250i jauh lebih besar dari Karisma yang hanya mempunyai kapasiti 4.6 liter. Karisma 125 baru ini masih mampu berkejaran dengan ‘abang-abang’nya tetapi perlu singgah di stesen petrol dengan lebih kerap.

Terdapat juga beberapa perbezaan yang ketara antara Elegan 250 dan Downtown 250i. Dari segi rupa, Downtown mempunyai bahagian depan yang sungguh cantik seakan Kawasaki GTR1400 tetapi lampu belakang ‘X’ yang terdapat pada Elegan 250 memang sangat menarik perhatian. Prestasi Downtown lebih bagus daripada Elegan tetapi terdapat cut-off pada 120km/h dimana Elegan tidak mempunyai sebarang halangan. Dari segi keselamatan, Kymco Downtown terdapat sedikit kelebihan dimana ia mempunyai ABS.

Secara keseluruhan, saya dapati kesemua motorsikal dari Modenas mempunyai ciri-ciri menarik yang tersendiri. Ingin pakej eksekutif secara keseluruhan? Pilihlah Elegan 250. Mahukan pakej yang mempunyai ciri keselamatan yang bagus? Kymco Downtown 250i pilihan bijak. Selalu didalam kawasan bandar? Karisma 125 atau CT115S pilihan hati.

Jika diberi peluang, saya akan memilih Modenas Elegan 250. Dengan hanya harga RM13,599.80 (asas dengan GST), pakej yang bagus dengan harga mampu milik dapat menarik lebih banyak pengguna jika dibandingkan dengan Kymco Downtown dengan harga premium sekitar RM22,790 (asas dengan GST). Modenas Karisma 125 juga memberi tawaran yang menarik pada harga RM5,278.80 (asas dengan GST) yang lebih sesuai untuk penggunaan seharian didalam kawasan bandar. Untuk spesifikasi lengkap, TEKAN SINI.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

10 Replies to “Konvoi Modenas ke Melaka: Pandu Uji Modenas Elegan 250(RM13,599.80), Karisma 125(RM5,278.80) dan Kymco Downtown 250i(RM22,790)”

Leave a Reply