Bridgestone Lancar Battlax Hypersport S23 

Pengeluar tayar terkemuka, Bridgestone dengan rasminya memperkenalkan produk baharu menerusi Bridgestone Battlax Hypersport S23 untuk pasaran global bagi tahun 2024. 

Battlax Hypersport S23 merupakan kemas kini terbaru selepas S22 dan dibangunkan khas sebagai tayar berprestasi tinggi yang menjaminkan pengalaman menunggang yang jitu di jalan raya mahupun litar lumba. 

Bagi tahun 2024, Bridgestone telah menyuntik peningkatan besar bagi S23 termasuk kompaun yang dipertingkat agar menawarkan cengkaman lebih baik ketika di selekoh. Bridgestone mendakwa Battlax Hypersport S23 ini mampu membuatkan penunggang berasa lebih yakin dalam apa jua keadaan. 

Senarai saiz tayar ditawarkan:

  • 120/70ZR-17 *tayar depan
  • 160/60ZR-17
  • 180/55/ZR-17
  • 190/50ZR-17 
  • 190/55ZR-17
  • 200/55ZR-17

Selain meningkatkan prestasi di litar, tayar baharu ini juga berfungsi baik di jalan raya di waktu kering mahupun basah (hujan). Seperti Battlax Hypersport S22, versi S23 ini juga mengguna pakai pelbagai kompaun. 

Bridgestone juga telah menerapkan teknologi Pulse Groove pada Batlax Hypersport S23 ini yang berfungsi meningkatkan kestabilan dan cengkaman terutamanya dalam keadaan mencabar. Menariknya, Bridgestone juga mendakwa S23 ini menawarkan ketahanan lebih baik. 

Menurut Bridgestone, Battlax Hypersport S23 ini akan mula memasuki pasaran global bermula Januari 2024. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]