Triumph Ucap Selamat Tinggal Pada Thruxton Dengan Final Edition – 104HP, 112Nm

Triumph Motorcycles dengan rasminya mengucapkan selamat tinggal kepada model ‘cafe-racer’ popular, Triumph Thruxton menerusi Triumph Thruxton Final Edition 2024.

Menurut Triumph, Thruxton Final Edition ini dibangunkan daripada platform Thruxton RS. Hasilnya, model ini dikuasakan enjin parallel-twin 1,200cc Bonneville yang berupaya menghasilkan 104hp pada 7,5000rpm dan 112Nm pada 4,250rpm. Enjin ini juga dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan.

Selain itu, Thruxton Final Edition ini juga didatangkan dengan pakej kerangka, suspensi, brek, rim dan tayar yang sama seperti Thruxton RS termasuk fork Showa Big Piston USD 43mm boleh laras di bahagian depan dan penyerap hentak berkembar belakang Ohlins. Kedua-dua komponen ini menawarkan pelarasan sepenuhnya dengan jarak pergerakan 120mm. 

Pakej brek terdiri daripada Brembo M50 4-pot berkembar dengan cakera brek 310mm. Bahagian belakang pula dikendalikan brek Nissin 2-pot dengan cakera 220mm. ABS juga didatangkan secara standard. 

Tayar pula merangkumi rim 17-inci aluminium ringan yang dipadankan bersama Metzeler Racetec RR. 

Sebagai model edisi khas, Thruxton Final Edition ini tampil dengan pilihan warna metalik Competition Green dengan kemasan berwarna hitam. Tangki pula diwarnai dengan garisan keemasan termasuk penutup tempat duduk belakang. Juga melengkapkan imej edisi khas ini adalah logo Triumph berwarna emas. 

Menurut Triumph, setiap Thruxton Final Edition ini datang dengan sijil khas yang memaparkan no. VIN dan tanda tangan pasukan rekaan selain CEO Triumph, Nick Bloor. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]