Kawasaki Ninja E-1 Dan Z E-1 Lancar Di AS – 9kW, Jarak Perjalanan 65km

Kawasaki dengan rasminya melancarkan dua model elektrik untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) menerusi Ninja e-1 dan Z e-1 dengan masing-masing mengikut acuan model Ninja dan Z sedia ada. 

Motor Elektrik

Menurut Kawasaki, Ninja e-1 ini dikuasakan motor elektrik yang mendapat aliran kuasa daripada dua pek bateri Lithium-ion 50.4V 30Ah yang menawarkan 9kW (sekitar 12hp). Tempoh cas penuh pula diletakkan pada 3.7 jam. 

Pek bateri tersebut boleh dicas dengan tiga cara; menggunakan outlet di rumah secara terus, menggunakan stesen pengecas bateri atau mengecas terus ketika bateri berada di dalam motosikal. Menariknya, sistem pencahayaan dan panel meter dinyalakan oleh bater 12V yang berasingan. 

Atas kertas, Ninja e-1 dan Z e-1 ini menawarkan jarak perjalanan 65km bagi setiap cas penuh namun perlu diingatkan jarak itu dicapai hanya dengan mod Road dan tanpa mengaktifkan e-Boost. Seperti kenderaan EV lain, jarak perjalanan juga bergantung kepada cara menunggang, berat penunggang serta keadaan sekeliling. 

Casis dan Kelengkapan

Dari segi casis, kedua-dua model mengguna pakai kerangka ‘steel trellis’. Pakej suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41mm depan dengan jarak pergerakan 119mm sementara bahagian belakang menempatkan ‘bottom-link Uni-Trak’ dengan ‘preload’ boleh laras. 

Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek 2-pot depan dan belakang dengan cakera brek 290mm (depan) dan 220mm belakang. ABS juga didatangkan secara standard pada Ninja e-1 dan Z e-1. 

Meskipun berkongsi pelbagai aspek sama namun Ninja e-1 lebih berat dengan 140kg manakala Z e-1 pula 5kg lebih ringan. 

Mod Kuasa

Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1 ini menawarkan dua mod kuasa dan fungsi e-Boost. Pertamanya, mod Eco menawarkan jarak perjalanan terbaik dengan aliran kuasa lebih lembut sementara kelajuan maksima dihadkan pada 60km/j manakala mod Road pula boleh mencapai 80km/j. 

Sementara itu, e-Boost pula membenarkan penunggang merasai pecutan dan kelajuan ekstra. Fungsi ini boleh diaktifkan dalam mod Eco dan Road dengan kelajuan boleh mencecah 95km/j. Namun, e-Boost hanya bertahan selama 15 saat pada satu-satu masa sahaja. 

Mod “Walk”

Antara ciri unik pada Ninja e-1 dan Z e-1 adalah mod “Walk”. Menurut Kawasaki, fungsi ini membantu ketika ‘parking’. 

Ketika mod “Walk” diaktifkan, jentera akan bergerak ke depan dengan had 5km/j ketika ‘throttle’ dipulas dan akan bergerak ke belakang pada kelajuan 3km/j ketika ‘throttle’ dilepaskan. 

Ciri lain ditawarkan termasuk:

  • panel meter TFT berwarna 4.3-inci
  • ruang letak barang 5L di bahagian tangki

Di pasaran AS, Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1 ini masing-masing dijual pada harga USD7,599 (RM36k) dan USD7,299 (RM34.5k). 

GALERI: KAWASAKI NINJA E-1

GALERI: KAWASAKI Z E-1

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]