Meskipun status Marc Marquez bersama pasukan Repsol Honda masih lagi kabur namun itu tidak menghalang lapan kali juara dunia itu untuk naik podium di Litar Motegi, Jepun, pada Ahad.
Marquez menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Francesco Bagnaia (Ducati) dan pemenang, Jorge Martin (Pramac-Ducati).
Disebalik kejayaan kembali ke podium, senario itu tidak sedikitpun melenyapkan khabar angin mengenai masa depan pelumba Sepanyol itu. Ini kerana sedang hangat diperkatakan bahawa Marquez akan sertai adiknya Alex Marquez di Gresini Racing bagi musim 2024 sekaligus bakal beraksi dengan jentera Ducati Desmosedici tahun depan.
Untuk rekod, jentera Ducati sedang mendominasi perlumbaan MotoGP ketika ini kerana daripad 14 pusingan setakat ini, 11 daripadanya telah dimenangi pelumba yang menunggang jentera Ducati.
Memahami kombinasi Marquez dan Ducati adalah cukup mengerikan, Cal Crutchlow – yang pernah menjadi pelumba Honda bersama Marquez untuk tempoh enam tahun – berpendapat perpindahan tersebut (sekiranya berlaku) akan menggegar kejuaraan dunia itu.
“Saya tidak tahu apa yang saya akan lakukan dalam tempatnya. Tetapi saya sering berkata: Jika Marc (Marquez) beralih ke Ducati, pelumba lain tiada peluang untuk bersaing.
“Kerana itulah saya berharap di kekal bersama Honda. Kerana saya mahu menyaksikan perlumbaan yang sengit.
“Bagi saya, Marc masih lagi pelumba terbaik dan berbakat yang pernah saya saksikan sehingga kini,” Crutchlow memberitahu Speedweek.
Tambah Crutchlow lagi, Marquez tidak hilang sentuhan sebaliknya jentera yang diguna pakai ketika ini tidak membenarkan dia memberikan persembahan yang sewajarnya.