Minggu lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha Y15ZR Special Edition untuk pasaran tempatan yang hadir dengan harga jualan RM9,498.
Persoalan yang bermain di minda rata-rata peminat Yamaha, apakah yang “istimewa” mengenai Y15ZR Special Edition kali ini?
Untuk menjawab persoalan itu, kami telah singgah di GenBlu Lifestyle Station, Sungai Buloh bagi menyaksikan dengan lebih dekat tawaran terbaru HLYM.
Pertamanya, warna yang disiarkan dalam foto yang dikongsikan minggu lalu nampak berbeza berbanding apa yang dilihat depan mata. Jika warna biru dalam gambar nampak terang, lain pula bila dilihat depan mata apabila warna biru tersebut kelihatan lebih gelap.
Keduanya, Y15ZR Special Edition ini merupakan motosikal Y15ZR pertama yang dilengkapi dengan kit aero. Komponen tersebut hampir tidak kelihatan dalam gambar namun bila di depan mata, ternyata kit aero itu lebih menonjol dan membuatkan rupa jentera tampil lebih sporty dan agresif.
Terdapat tiga komponen ‘kit aero’ kesemuanya yang terdiri daripada visor depan, panel sisi (kiri dan kanan) serta di bahagian sisi ekor.
Walaupun tidak membawa perubahan yang ketara namun gabungan warna baharu beserta kit aero ini sedikit sebanyak menghadirkan rupa Y15ZR yang lebih segar berbanding sebelum ini.
Dalam pada itu, spesifikasi lain kekal sama terutamanya bahagian enjin yang masih lagi dikuasakan platform satu silinder 150cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 15hp dan 14.4Nm. Kelengkapan lain termasuk cakera brek depan dan belakang, tangki 4.2L, panel meter LCD dan lampu LED masih lagi dikekalkan.