ARRC: Saya Terkilan Dengan Apa Yang Berlaku – Kasma Daniel

Pelumba Jepun, Haruki Noguchi disahkan meninggal dunia pada Rabu selepas tiga hari menjalani rawatan susulan daripada kemalangan yang dialami hujung minggu lalu di Litar Mandalika ketika Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023. 

Noguchi selaku pelumba pasukan SDC MS Harc-Pro Honda Ph kemalangan di Turn 10 bersama-sama pelumba negara, Zaqhwan Zaidi. Bagaimanapun, Noguchi dirempuh dari belakang oleh seorang lagi wakil negara, Kasma Daniel Kasmayuddin yang tidak sempat mengelak. 

Susulan kemalangan itu, Haruki dikejarkan ke hospital Public Hospital of Nusa Tenggara Barat dan menjalani rawatan selama tiga hari sebelum disahkan meninggal dunia semalam (16 Ogos). 

Dalam pada itu, Kasma dalam satu perkongsian di media sosial meluahkan rasa terkilan dengan apa yang telah terjadi pada Noguchi. 

“Sukar untuk percaya apa yang berlaku dan saya tidak tahu macam mana untuk meluahkan permohonan maaf terhadap apa yang telah berlaku.

“Anda merupakan antara pelumba terkuat di atas litar dan walaupun kami bersaing sengit, anda seorang yang mesra dan baik di luar litar,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Kasma berjanji untuk terus beraksi di litar dengan membawa semangat Noguchi. 

“Saya akan bawa semangat juang anda bersama saya sepanjang karier saya sebagai pelumba litar,” tambahnya.

Kejadian menimpa Haruki Noguchi cukup menyayat hati dan membuktikan setiap pelumba itu mempertaruhkan nyawa ketika beraksi di litar. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]