Honda X-ADV Generasi Baharu Dalam Pembangunan

Honda memperkenalkan X-ADV sebagai jentera konsep pada 2015 dan ketika itu ramai yang mempersoal tindakan pengeluar Jepun itu dalam menghasilkan sebuah ‘skuter adventure’. 

Bagaimanapun, beberapa tahun selepas itu, X-ADV telah pun dilahirkan dan skuter tersebut telah pun memasuki generasi kedua yang diperkenalkan pada 2021.

Dalam perkembangan terbaru, Honda disahkan sedang membangunkan X-ADV generasi baharu berdasarkan paten yang difailkand di Jepun. 

Melihat kepada lakaran paten yang dikongsikan itu, jelas X-ADV akan datang itu bakal tampil dengan reka bentuk dan susun atur serba baharu. 

Pertamanya, bahagian lampu depan dan belakang akan tampil berbeza berbanding generasi pertama dan kedua. Di bahagian depan, lampu jenis memanjang yang mengisi bahagian sisi kini dipindahkan ke bawah dengan bentuk melintang. Terdapat tiga lampu LED mengisi setiap bahagian lampu utama tersebut. 

Posisi ‘Daytime Running Light’ juga berbeza berbanding sebelum ini. 

Sementara itu, bahagian belakang juga berbeza dengan ekzos kini berada di bawah tempat duduk belakang berbanding sisi seperti sebelum ini. Perubahan posisi ekzos secara tak langsung memperbaiki jarak kelegaan tanah (ground clearance) di samping membenarkan ruang yang lebih luas bagi memuatkan ‘catalytic converter’ dalam usaha mencapai standard emisi yang semakin ketat. 

Selain itu, kedudukan baharu ekzos itu juga memudahkan pemasangan ‘panniers’ yang lebih besar. 

Buat masa ini tiada pengumuman rasmi dari pihak Honda bila generasi baharu Honda X-ADV ini akan diperkenalkan namun kami tidak terkejut seandainya pameran motosikal EICMA di Milan hujung tahun ini menjadi pilihan Honda bagi membuat pendedahan. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]