RASMI: Triumph Speed 400 Didedahkan – Enjin 398cc, 39.5HP, 37Nm

Triumph Motorcycles dengan rasminya mendedahkan model terbaru hasil kerjasama dengan Bajaj Auto, sekaligus menamatkan segala spekulasi dan khabar angin yang berlegar berbulan lamanya sebelum ini. 

Kerjasama tersebut menyaksikan lahirnya dua model serba baharu, menerusi Triumph Speed 400 dan Triumph Scrambler 400 X. Kedua-dua model ini dibangunkan dengan platform TR terbaru. Menurut Triumph, platform TR tersebut adalah khas bagi jentera Triumph dan tidak akan diguna pakai oleh Bajaj. 

Enjin 

Untuk rekod, enjin TR pada Triumph Speed 400 ini merupakan platform satu silinder 398cc dengan suntikan bahan api dan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 39.5hp pada 8,000rpm dan 37Nm pada 6,500rpm. Enjin tersebut pula dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan. 

Casis

Triumph Speed 400 ini juga menampilkan casis serba baharu yang merangkumi kerangka jenis perimeter yang dibangunkan daripada tiub keluli serta ‘subframe’ jenis ‘bolt-in’. Pakej suspensi pula terdiri daripada fork USD 43mm dengan jarak pergerakan 140mm. Bahagian belakang pula menempatkan monoshock dengan fungsi ‘preload’ boleh laras. 

Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek 4-pot depan dengan cakera brek 300mm dan kaliper brek 1-pot belakang dengan cakera brek 230mm. ABS juga didatangkan secara standard termasuk hos brek jenis ‘steel-braided’. 

Selain itu, Triumph Speed 400 ini juga dilengkapi rim 17-inci yang dipadankan bersama tayar Metzeler Sportec M9RR secara standard. Meskipun bersesaran 400cc namun motosikal ini menawarkan tangki 13L sekaligus menjaminkan penggunaan bahan api yang cekap. 

Elektronik

Menariknya, Triumph turut menambah beberapa fungsi berteknologi tinggi pada varian Speed 400 ini yang termasuk sistem ‘ride-by-wire’, traction control (boleh padam) serta klac jenis ‘torque-assist’. Juga disertakan panel meter digital LCD dan port USB. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • immobilizer
  • lampu LED penuh
  • steering lock
  • cip transponder

Menurut Triumph, Speed 400 ini akan mula memasuki pasaran India sekitar Julai tahun ini sebelum mula menembusi pasaran luar sekitar awal 2024. 

Berdasarkan pertemuan kami dengan Ketua Jualan Eksport Triumph Motorcycles, Cees De Rooij sebelum ini, dia juga mengesahkan bahawa varian 400cc baharu ini akan turut dipasarkan di Malaysia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]