RASMI: Triumph Lancar Scrambler 400 X – Rim 19-Inci Depan, ABS Boleh Laras

Triumph Motorcycles dengan rasminya mendedahkan model terbaru hasil kerjasama dengan Bajaj Auto, sekaligus menamatkan segala spekulasi dan khabar angin yang berlegar berbulan lamanya sebelum ini. 

Kerjasama tersebut menyaksikan lahirnya dua model serba baharu, menerusi Triumph Speed 400 dan Triumph Scrambler 400 X. Kedua-dua model ini dibangunkan dengan platform TR terbaru.

Enjin 

Untuk rekod, enjin TR pada Triumph Scrambler 400 X ini merupakan platform satu silinder 398cc dengan suntikan bahan api dan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 39.5hp pada 8,000rpm dan 37Nm pada 6,500rpm. Enjin tersebut pula dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan. 

Menurut Triumph, enjin serba baharu ini tidak akan digunakan oleh orang lain selain Triumph sahaja. 

Casis

Sama seperti Speed 400, varian Scrambler ini juga mengguna pakai casis jenis kerangka perimeter dan ‘subframe’ jenis ‘bolt-on’ sekaligus lebih lasak. Swingarm pula jenis konvensional dan diperbuat daripada bahan aluminium. 

Pakej suspensi pula terdiri daripada fork USD 43mm dengan jarak pergerakan 150mm (10mm lebih dari Speed 400). Bahagian belakang pula menempatkan ‘gas monoshock’ dengan jarak pergerakan 150mm, 20mm lebih tinggi dari Speed 400. 

Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek 4-pot depan dengan cakera brek 320mm dan kaliper brek 1-pot belakang dengan cakera brek 230mm. ABS juga didatangkan secara standard.

Selain itu, Triumph Scrambler 400 X ini dilengkapi rim 19-inci depan dan 17-inci belakang  yang dipadankan bersama tayar Metzeler Karoo Street. Gabungan rim yang lebih besar berbanding Speed 400 ini juga membolehkan Scrambler 400 X digunakan pada permukaan off-road. Namun begitu, kapasiti tangki Scrambler 400 X ini sama seperti Speed 400, iaitu 13L. 

Elektronik

Menurut Triumph, Scrambler 400 X menawarkan fungsi ABS yang boleh dinyahaktifkan ketika tunggangan off-road berbanding Speed 400. Namun begitu, fungsi lain kekal sama antaranya ‘ride-by-wire’, traction control, klac dengan fungsi ‘torque-assist’ dan panel meter digital LCD. Juga ditawarkan port USB. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • immobilizer
  • lampu LED penuh
  • steering lock
  • cip transponder

Menurut Triumph, Speed 400 ini akan mula memasuki pasaran India sekitar Julai tahun ini sebelum mula menembusi pasaran luar sekitar awal 2024. 

GALERI:

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]