Moto Guzzi V100 Mandello akhirnya mendarat di Malaysia selepas diperkenalkan pada pasaran global pada penghujung tahun 2021.
Menurut pengedar rasmi, DIDI Group, Moto Guzzi V100 Mandello hadir dengan dua varian, Standard dan S dengan keduanya dibezakan dengan kelengkapan yang lebih premium termasuk ‘Öhlins semi-active suspension’.
Untuk rekod, V100 Mandello bukan sekadar motosikal baharu tetapi lebih daripada itu. . Ini kerana V100 Mandello itu merupakan motosikal pertama yang dihasilkan Moto Guzzi yang dilengkapi ciri moden dan berteknologi tinggi termasuk sistem suspensi semi-aktif, IMU 6-axis, cornering ABS dan ‘quickshifter’.
Bukan itu sahaja, Moto Guzzi V100 Mandello juga mempunyai panel badan dibahagian kanan dan kiri tangki yang akan terbuka dengan sendirinya bagi menghasilkan ‘downforce’ yang lebih efisien. Menurut Moto Guzzi, teknologi itu dinamakan sebagai ‘adaptive aerodynamics’.
Moto Guzzi V100 Mandello dikuasakan enjin jenis ‘transverse’ V-Twin 1,042cc yang berupaya menghasilkan 115hp dan 105Nm pada 3,500rpm. Meskipun bersesaran lebih besar berbanding platform yang diguna pakai pada V85 TT, namun enjin V100 Mandello itu 103mm lebih pendek.
Bagi yang berminat, Moto Guzzi V100 Mandello dijual pada harga RM99,900 sementara V100 Mandello ‘S’ pula, RM117,900.
Kemunculan V100 Mandello di Malaysia pastinya menghangatkan lagi segmen ‘sports touring’ disini terutamanya bagi mereka yang gemar menunggang jarak jauh.