UMW Toyota telah melancarkan Toyota Innova Zenix terbaru untuk pasaran tempatan yang merupakan model CBU Indonesia. Menariknya, terdapat dua varian ditawarkan kali ini yang merangkumi Innova Zenix 2.0V Dan Innova Zenis 2.0 HEV.
Menurut UMW Toyota, 2.0V (8-tempat duduk) ditawarkan pada harga RM165,000 sementara varian ‘flagship’ 2.0 HEV (7 tempat duduk) yang didatangkan dengan platform hibrid dijual pada harga RM202,000.
Namun begitu, Innova 2.0X dan 2.0G yang ditawarkan sebelum ini akan terus dijual bagi memenuhi permintaan pembeli disini.
Dari segi rekaan, kedua-dua varian ini datang dengan reka bentuk lebih lebar dan panjang di samping tampil lebih agresif dengan tema ‘Premium & Tough’. Gril depan yang lebar juga menampakkan rupa keseluruhan yang lebih matang.
Penggunaan rim 18-inci depan dan belakang juga menciptakan rupa yang lebih besar meskipun perbezaan dimensi antara generasi terbaru dengan Innova CG tidaklah ketara.
Bagaimanapun, Innova Zenix tampil lebih premium berbanding Innova CG dengan ruang kabin yang menerapkan penggunaan bahan yang lebih lembut di bahagaian ‘dashboard’. Tempat duduk juga lebih mewah dengan bahan kulit tiruan.
Varian HEV juga dilengkapi dengan ‘kerusi kapten’ di barisan tengah yang turut dilengkapi dengan ‘meja sisi’ yang boleh memuatkan dua botol air.
Ruang pemandu dan penumpang depan pula disajikan dengan skrin infotainmen 10.1-inci dengan fungsi ‘touchscreen’ dan ‘wireless Apple CarPlay serta Android Auto sementara panel meter pula dilengkapi panel MID 7-inci.
Dalam pada itu, varian 2.0 V dan HEV juga dilengkapi dengan ‘Automatic Air-Conditiong’. Selain itu, juga ditawarkan pengecas USB dan dua soket 12V.
Innova Zenix ini juga lebih kukuh hasil penggunaan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) yang versatil. Menurut Toyota, platform terbaru ini lebih lasak, lincah dan menawarkan keselesaan yang lebih baik. Tak hairanlah platform TNGA ini juga 170kg lebih ringan.
Sementara itu, Innova Zenix 2.0 V dikuasakan enjin Toyota M20A 2L 4-silinder 16-valve DOHC yang menawarkan 174PS dan 205Nm manakala Innova Zenix 2.0 HEV pula menawrakan 152PS dan 188Nm. Namun pertambahan motor elektrik pada HEV menyuntik kuasa tambahan yang menyumbang kepada 186PS.
Innova Zenix 2.0 HEV juga menawarkan mod EV yang membuatkan trenkuasa beroperasi sepenuhnya dengan kuasa elektrik pada jarak yang pendek.
Menariknya, Toyota Innova Zenix ini juga merupakan model Toyota sulung yang dilengkapi dengan TSS 3.0 (Toyota Safety Sense) terkini yang merangkumi:
- Pre-Collision System
- Dynamic Radar Cruise Control
- Auto-High Beam
- Lane Departure Alert
- Lane Tracing Assist
- Road Sign Assist
Setiap pembelian Toyota Innova Zenix didatangkan dengan waranti lima tahun dan perbatuan tanpa had. Waranti ini juga masih berjalan sekiranya kereta dijual pada pemilik baharu.
Bagi pembeli 2.0 HEV, UMW Toyota mengingatkan bahawa terdapat perlindungan waranti lapan bagi pek bateri hibrid.