Pengeluar motosikal gergasi China, QJMotor bakal melancarkan sebuah motosikal kategori ‘sportsbike’ dengan kapasiti enjin 778cc tidak lama lagi.
Perkara itu didedahkan menerusi dokumen kelulusan yang difailkan di China baru-baru ini yang turut mendedahkan rupa jelas model terbaru itu.
QJMotor SRK 800RR merupakan jentera ketiga QJMotor yang akan dikuasakan enjin empat silinder dengan SRK600RR merupakan model pertama. Syarikat pengeluar dari China itu juga sedang membangunkan jentera 600cc V4 yang akan menghidupkan sebuah motosikal jenis cruiser.
Ini merupakan kali pertama 800RR diperlihatkan kepada umum dan dijangka akan diperkenalkan lewat tahun ini. Difahamkan, model ini akan diperkenalkan serentak bersama jentera ‘superbike’ sulung QJMotor menerusi 1000RR yang dikuasakan enjin dibangunkan MV Agusta.
Walaupun 800RR tampil dengan reka bentuk mirip 600RR namun ini adalah model serba baharu. Menariknya, tinjauan dekat enjin tersebut menampakkan susun atur sama dengan Honda CBR650R.
Namun, enjin 800RR mempunyai ‘stroke’ yang lebih panjang sekitar 55.2mm sekaligus menawarkan kapasiti 778cc.
Tidak cukup dengan itu, kerangka yang diguna pakai juga hampir sama dengan CBR650R maka tidak hairanlah dimensi ‘wheelbase’ kedua model ini sama iaitu 1450mm.
Walaupun tampak sama namun enjin pada 800RR bukanlah tiruan kerana kapasiti 778cc yang disumbangkan ‘stroke’ yang lebih panjang itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pada masa sama, kapasiti lebih besar bermakna kuasa yang lebih tinggi.
Ini kerana dokumen tersebut mendedahkan QJMotor SRK 800RR menawarkan 101hp, 7hp lebih tinggi berbanding CBR650R.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk kaliper brek Brembo dengan ABS serta pakej suspensi dari Marzocchi. Untuk rekod, Qianjiang dan Marzocchi telah pun menjalinkan kerjasama untuk menghasilkan komponen di China pada 2021 jadi tidak hairanlah kebanyakan model QJMotor akan datang dilengkapi komponen dari Itali itu.
Selain itu, 800RR boleh mencapai kelajuan maksima sekitar 220km/j.
Secara keseluruhan 800RR ini pastinya akan menarik minat pembeli yang mahukan sesuatu yang berkuasa dan moden di samping menjanjikan harga yang lebih mampu milik berbanding jenama lain dalam pasaran.
Kami menjangkakan 800RR ini akan diperkenalkan bersama-sama 1000RR pada penghujung tahun ini dengan pentas EICMA menjadi platform paling relevan untuk didedahkan.