Moto Guzzi Persiap Generasi Terbaru Stelvio

Bagi yang gemar melancong, Stelvio merupakan gunung popular di Itali dengan ketinggian 2,757 meter dari aras laut tetapi bagi yang menggemari jenama Moto Guzzi, Stelvio merujuk kepada motosikal ‘adventure’ yang dihasilkan dari 2007 hingga 2017. 

Jika anda merupakan peminat motosikal tersebut, Moto Guzzi ada berita baik kerana Stelvio bakal dihidupkan semula. Ini kerana syarikat induk, Piaggio Group telah memfailkan paten nama Stelvio sekaligus mengesahkan motosikal ADV itu akan diperkenalkan kembali. 

*Moto Guzzi V100 Mandello

Difahamkan, Moto Guzzi membangunkan semula Stelvio dengan menggunakan V100 Mandello sebagai asas utama. Perkara ini juga disahkan menerusi gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan baru-baru ini. 

Berdasarkan imej tersebut, jelas menampakkan reka bentuk V100 Mandello namun dengan beberapa perbezaan ketara antaranya fork yang lebih panjang dan penggunaan rim jenis spoke (lidi) berbanding aloi. Turut kelihatan penghadang angin yang lebih tinggi bagi melengkapkan imej ADV. 

Selain itu, turut kelihatan komponen ‘handguard’, bashplate dan kedudukan lampu isyarat yang lebih tinggi berbanding yang ada pada V100 Mandello. 

Meskipun tiada info terperinci ketika ini namun mengambil kira generasi terbaru Stelvio ini mengguna pakai platform sama seperti V100 Mandello maka kami menjangkakan model baharu ini akan turut menawarkan kuasa sekitar 115hp dan 105Nm. 

Pada masa sama, kami menjangkakan Moto Guzzi akan mendedahkan model tersebut secara rasmi di EICMA 2023 yang akan berlangsung di Milan, November ini. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]