Cari Rezeki, Mekanik Lumpuh Cekal Baiki Motosikal Dari Atas Katil

Meskipun lumpuh namun senario itu tidak menggugat semangat Mohamad Zulkarnain Mustafa untuk terus cekal mencari rezeki dengan membaiki motosikal. 

Mohamad Zulkarnain, 27, yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) hanya mampu terlantar dikatil ekoran lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. 

Namun, dia dengan bantuan adik bongsunya, Mohamad Hazarul Nizam, 13, terus menjalankan perniagaan baik pulih motosikal di hadapan rumah keluarga terletak di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak. 

Memetik laporan Harian Metro, Mohamad Zulkarnain lumpuh separuh badan selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada 2015. Pada waktu kejadian, dia baru sahaja berusia 19 tahun. 

“Selain kerja di gerai ayam goreng di pasar malam, saya juga membuka bengkel membaiki motosikal di rumah secara sambilan tetapi kemalangan itu menyebabkan saya tidak boleh berjalan.

“Selama setahun saya berehat untuk kembali pulih sepenuhnya dan selepas itu barulah saya teruskan minat membaiki motosikal biarpun pergerakan sudah tidak lincah seperti dulu,” katanya. 

Difahamkan, Mohamad Zulkarnain hanya boleh melakukan kerja-kerja baiki motosikal sambil terbaring kerana tidak boleh duduk atas kerusi roda melebihi dua jam kerana perut akan senak dan sakit.

Selain sebagai tapak baik pulih motosikal, katil digunakan itu juga merupakan satu-satunya tempat tidur pemuda tersebut. 

“Saya lebih selesa buat kerja dengan cara berbaring, kalau duduk di kerusi roda agak sukar sedikit. Saya tetap mahu jadi mekanik kerana minat selain tidak mahu kemahiran yang ada terkubur begitu saja,” tambahnya. 

Dalam pada itu, Mohamad Zulkarnain juga akui dalam keadaannya ketika ini, pergerakannya agak terbatas dan kadang-kala menyebabkan tempoh baik pulih sedikit panjang. Namun, situasi tersebut difahami pelanggannya. 

ak banyak motosikal yang dibaiki. Adalah sebuah atau dua saja untuk sebulan kerana kami tinggal di kampung dan di sini juga ada bengkel lain.

“Tetapi bersyukur juga ada kawan dan orang kampung sudi hantar motosikal mereka kepada kami dan saya tetap gembira dengan rezeki ini biarpun pendapatan tidak seberapa,” jelasnya. – Harian Metro

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply