Perkabaran tentang pembangunan enjin baharu oleh QJ Motor telah pun tular sejak April lalu apabila pengeluar motosikal China itu disahkan sedang menghasilkan enjin dengan konfigurasi V4.
Bagaimanapun, ketika itu belum ada sebarang pengesahan mengenai jenis motosikal yang akan dikuasakan enjin tersebut di samping sesaran enjin yang akan ditawarkan. Namun, persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila QJ Motor telah pun mendedahkan model dengan enjin V4 itu baru-baru ini di China.
Berdasarkan gambar yang diperolehi, motosikal tersebut adalah jenis ‘cruiser’ yang akan digerakkan platform 600cc dengan konfigurasi V4.
Menariknya, ‘cruiser’ tersebut tampak mendapat inspirasi daripada Harley-Davidson Sportster S terbaru namun dengan beberapa perbezaan ketara antaranya reka bentuk tangki, subframe, jarak ‘handelbar’ dengan penunggang dan lampu depan.
Persamaan tersebut bukanlah satu kejutan apatah lagi QJ Motor dan Harley-Davidson telah pun menjalinkan kerjasama bagi penghasilan model X350 dan X500 baru-baru ini.
Namun begitu, tumpuan terus terarah kepada keputusan QJ Motor untuk menawarkan platform V4 pada sebuah motosikal ‘cruiser’ yang rata-rata dikuasakan enjin V-Twin dan parallel-twin oleh pengeluar lain.
Apa pun, kami menjangkakan enjin tersebut akan menawarkan sekitar 70hp.
Dalam pada itu, kami juga menjangkan Flash 600 V4 bukanlah satu-satunya model V4 yang akan diperkenalkan QJ Motor untuk pasaran global kerana platform tersebut pastinya akan turut disuntik pada model berprestasi tinggi seperti sebuah motosikal naked dan sportbike.
Persoalannya, bilakah QJ Motor Flash 600 V4 ini akan diperkenalkan secara rasmi? Pendapat kami, model ini akan dilancarkan sekitar hujung tahun ini.