WorldSBK: Toprak Razgatlioglu Tinggalkan Yamaha

Juara dunia Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) 2021, Toprak Razgatlioglu, akan meninggalkan Pata Yamaha Prometeon WorldSBK sebaik musim 2023 ini berakhir. 

Pelumba kelahiran Turki itu akan menamatkan hubungan empat tahun bersama Yamaha dalam usaha mencari cabaran baru pada 2024. 

Bagaimanapun, Razgatlioglu dalam kenyataan menyebut meskipun ada peluang ke MotoGP, dia mahu kekal beraksi di WorldSBK. 

“Musim depan saya mahukan cabaran baharu dan walaupun ada tawaran dari MotoGP namun saya tidak dapat rasa perasaan yang sama dengan jentera MotoGP berbanding SBK. 

“Tetapi jika saya mahu kekal di WorldSBK, saya perlukan sasaran baru, misi baru. Saya kesal terpaksa tinggalkan Yamaha tetapi perubahan adalah perkara biasa dalam sukan. 

“Untuk itu, saya berterima kasih kepada Yamaha Motor Company, Yamaha Motor Europe, Yamaha Motor Turkiye, Pata Yamaha Prometeon WorldSBK dan kru saya,” jelasnya. 

Razgatlioglu meninggalkan impak bersama Yamaha di WorldSBK setelah mencatat 31 kemenangan dan 47 podium selama empat tahun ini. Meskipun begitu, dia kekal komited untuk mencabar kejuaraan dunia sekali lagi musim ini. 

Dalam pada itu, apakah destinasi seterusnya bagi pelumba berusia 26 tahun itu?

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]