Tidak dinafikan jualan motosikal semakin laris sejak musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) susulan menjadi bukan sahaja median pengangkutan malah sebagai kenderaan mencari rezeki terutamanya bagi kerja penghantar makanan/barangan.
Namun, tidak juga dinafikan harga motosikal semakin meningkat sejak PKP berakhir. Walaupun pengeluar memperkenalkan harga rasmi namun sebaik sampai di kedai sesetengah jenama itu dijual dengan harga lebih tinggi atas alasan tiada stok, permintaan tinggi dan sebagainya.
Lantaran itu, ada yang memilih jalan mendapatkan motosikal yang diinginkan pada harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran dengan membeli motosikal berstatus ‘lari kedai’.
Terdapat satu akaun khas di media sosial yang ditubuhkan bagi membolehkan penjual dan pembeli mendapatkan motosikal ‘lari kedai’ atau ‘motor piang’ dengan mudah.
Motosikal seperti Yamaha 135LC dan Y15ZR antara model popular diniagakan dan hanya dijual sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sahaja. Juga tidak ketinggalan, Honda RS150R juga dijual sekitar harga sama.
Berdasarkan tinjauan, harga motosikal ‘lari kedai’ ini bergantung pada apa jenis dokumen yang masih ada selain daripada keadaan semasa motosikal. Jangan terkejut jika anda terjumpa motosikal baru keluar kedai namun sudah diniagakan dengan harga tak masuk akal (murah).
Pada masa sama, rata-rata yang membeli motosikal lari kedai adalah untuk tujuan kegunaan harian serta pergi/balik kerja.
Bagaimanapun, urus niaga motosikal berstatus tidak sah ini adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan. Pada masa sama, menunggang motosikal tanpa dokumen lengkap juga boleh mengundang padah dan menyukarkan proses perundangan terutamanya jika terlibat kemalangan.
Tahun lalu, sebuah kedai motosikal telah mendedahkan nama individu yang gagal menjelaskan bayaran bulanan pembelian motosikal secara ‘loan kedai’. Ada yang gagal membuat bayaran sejak bulan pertama lagi.