“Macam Roket” – Quartararo Akui Yamaha Jauh Ketinggalan Di Belakang Ducati

Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 telah pun memasuki pusingan keempat hujung minggu lalu yang menyaksikan pelumba LCR Honda, Alex Rins muncul juara. 

Tidak jauh dibelakang adalah pelumba VR46-Ducati, Luca Marini sementara juara dunia musim 2021, Fabio Quartararo melengkapkan podium di tempat ketiga. 

Bagi yang menyaksikan perlumbaan tersebut pastinya menyedari Quartararo berada pada kedudukan kedua sebaik Francesco Bangnaia kemalangan namun mudah dipintas Marini ketika di penghujung perlumbaan. 

Oleh sebab itu, Quartararo terus meluahkan rasa kecewa kerana berasakan dia tidak memiliki jentera yang mampu bersaing dengan Ducati bukan sahaja dari segi kelajuan malah aerodinamik. 

Ketika perlumbaan pada Ahad berakhir, Quartararo ditanyakan sama ada dia akan pilih jentera yang kelihatan seperti Ducati atau Aprilia. 

“Masalahnya untuk menggunakan aerodinamik (seperti Aprilia dan Ducati), kami perlu mempunyai enjin yang sama hebat. Tetapi kami (Yamaha) tidak boleh menggunakannya kerana kedua-dua jentera ini langsung tak kelihatan seperti motosikal tetapi nampak macam roket. 

“Jentera mereka ada winglet di bahagian atas, bawah, tengah dan belakang. Jadi untuk menerapkan aerodinamik sama perlu diiringi dengan kuasa yang tinggi. 

“Jadi mengambil kira faktor ini, kami ketinggalan bertahun di belakang,” ujar Quartararo. 

Quartararo pastinya masih terasa perit apabila mudah dipintas jentera GP22 ditunggang Marini pada Ahad. Ketika insiden tersebut berlaku, pengulas menyifatkan jentera YZR-M1 milik Quartararo tampak seperti jentera Moto2 kerana cukup mudah dipotong Marini. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]