Moto Guzzi V100 Mandello Masuk Malaysia Tahun Ini?

Ketika Moto Guzzi V100 Mandello membuat penampilan sulung tahun lalu, motosikal segmen ‘sport cruiser’ itu menerima pujian melambung. 

Ini kerana motosikal tersebut bukan setakat sebuah model baharu malah membawa nama Moto Guzzi dalam melangkah ke abad ke-21. Ini kerana V100 Mandello itu merupakan motosikal pertama yang dihasilkan Moto Guzzi yang dilengkapi ciri moden dan berteknologi tinggi termasuk sistem suspensi semi-aktif, IMU 6-axis, cornering ABS dan ‘quickshifter’.

Bukan itu sahaja, Moto Guzzi V100 Mandello juga mempunyai panel badan dibahagian kanan dan kiri tangki yang akan terbuka dengan sendirinya bagi menghasilkan ‘downforce’ yang lebih efisien. Menurut Moto Guzzi, teknologi itu dinamakan sebagai ‘adaptive aerodynamics’.

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa motosikal premium dan berteknologi tinggi akhirnya akan dipasarkan di Malaysia tahun ini. Meskipun tarikh terperinci tidak diberitahu namun jangkaan model itu akan tiba antara Suku Kedua dan Suku Ketiga. 

Untuk rekod, Didi Group merupakan pengedar rasmi jenama Moto Guzzi di Malaysia  selain daripada Aprilia, Vespa, Harley-Davidson, Royal Enfield dan terbaru, Triumph Motorcycles. 

Dalam pada itu, Moto Guzzi V100 Mandello dikuasakan enjin jenis ‘transverse’ V-Twin 1,042cc yang berupaya menghasilkan 115hp dan 105Nm pada 3,500rpm. Meskipun bersesaran lebih besar berbanding platform yang diguna pakai pada V85 TT, namun enjin V100 Mandello itu 103mm lebih pendek.

Persoalannya, sekiranya dipasarkan di Malaysia nanti, berapakah jangkaan harga yang akan ditawarkan? Di Amerika Syarikat, Moto Guzzi V100 Mandello datang dengan dua varian, Standard dan ‘S’ dengan kedua-duanya dijual pada harga USD15,490 (RM69k) dan USD17,490 (RM79k).

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]