MForce Bike Holdings Sdn Bhd dengan rasminya memperkenalkan WMOTO Bobbie VII untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan rasmi RM35,888.
Seperti namanya, WMOTO Bobbie VII merupakan motosikal berkonsepkan ‘bobber’ sekaligus tampil dengan gaya retro klasik.
Sekali imbas, Bobbie VII ini tampak diinspirasikan daripada jenama lain antaranya Triumph dan Harley-Davidson.
WMOTO Bobbie VII dikuasakan enjin parallel-twin 693cc 4-stroke DOHC yang berupaya menghasilkan 74hp pada 8,500rpm dan 68Nm pada 6,500rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan.
Meskipun tampil dengan imej retro, Bobbie VII ini lengkap dengan siistem suntikan bahan api (EFI) dan sistem brek ABS dwi-saluran. Selain itu, model ini juga datang dengan fork teleskopik depan yang dipadankan bersama kaliper brek 2-pot dan cakera brek320mm depan dan 256mm belakang.
Tidak lupa juga kehadiran panel meter digital LCD yang cukup besar lalu menyerlahkan lagi kelengkapan moden pada model ini.
Dalam pada itu, Bobbie VII ini turut menawarkan pencahayaan LED penuh (depan dan belakang) sekaligus menjaminkan penglihatan yang lebih jelas terutamanya di waktu malam.
Menariknya, meskipun bergaya ‘bobber’, model ini masih praktikal dengan adanya tempat duduk ‘pillion’ berbanding jenama lain.
Ciri lain ditawarkan termasuk tangki 15L, rim tubeless 17-inci depan dan 16-inci belakang yang dipadankan bersama tayar TImsun 120/80 di depan dan 150/80 belakang.
Untuk rekod, WMOTO Bobbie VII ini dijenamakan semula daripada Briston Bobber 700 yang ketika ini dipasarkan di Filipina. Untuk pasaran Malaysia, WMOTO Bobbie VII ini datang dengan dua pilihan warna ‘Matte Black’ dan ‘Metallic Black’.
Sementara itu, MForce turut mempamerkan Bobbie VII versi ‘sidecar’ yang akan pasarkan kemudian kerana masih menanti kelulusan.