Enjin Tiga Silinder 675cc Dalam Pembangunan – CFMoto

Dalam kesibukan pembangunan enjin V4 1,000cc, CFMoto dilaporkan turut sibuk membangunkan enjin tiga-silinder 675cc. 

Perkara itu disahkan menerusi paten terbaru yang difailkan di China. 

Ada beberapa sebab mengapa perkembangan terbaru ini menarik perhatian. Pertamanya, meskipun CFMoto mempunyai kerjasama erat dengan KTM namun mereka masih tekad untuk membangunkan platform sendiri. 

*paten terbaru ini mendedahkan enjin tiga silinder yang dibangunkan dengan acuan sama dengan enjin parallel-twin 449cc digunakan pada 450SR.

Pada masa sama, pembangunan platform pelbagai kapasiti membuktikan bahawa CFMoto masih lagi yakin enjin pembakaran dalaman masih ada permintaan tinggi.

Melihat kepada paten terbaru itu, jelas beberapa aspek menyamai enjin parallel-twin 449cc yang menggerakkan jentera CFMoto 450SR antaranya reka bentuk ‘cylinder head’ dan ‘cam cover’ namuntelah diperbesarkan bagi memuatkan silinder ketiga. 

Untuk itu, dengan pertambahan silinder ketiga kepada bore dan stroke 72 x 55.1mm maka terhasilah kapasiti enjin 673cc. 

*lakaran paten mendedahkan terdapat 4-valve bagi setiap silinder sekaligus membawa jumlah 12-valve.

Jika dibandingkan dengan enjin tiga silinder 675cc yang terdapat pada Triumph Daytona 675, ternyata platform CFMoto terbaru itu datang dengan ‘stroke’ yang lebih panjang. 

Seperti jangkaan, enjin tersebut juga dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan. 

Untuk rekod, selain CFMoto beberapa pengeluar China lain turut sibuk dalam membangunkan beberapa enjin baharu termasuk QJ Motor, Benda, Loncin dan Zontes. Persoalannya, motosikal jenis apakah yang bakal disuntik dengan enjin tiga silinder terbaru itu? – CycleWorld

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]