Tinjauan Dekat Paten Enjin V4 Keluaran CFMoto Dengan 204HP

CFMoto merupakan antara jenama motosikal dari China yang cukup serius dalam membangunkan jentera berkualiti dan berprestasi tinggi. 

Kerjasama dengan KTM termasuk di Kejuaraan Dunia Moto3 menjadi bukti komitmen yang ditonjolkan CFMoto dalam mengukuhkan jenama itu di pentas antarabangsa. 

Menariknya, beberapa model yang diperkenalkan antaranya 250SR, 700CL-X, 650MT, 800MT dan terbaru 450SR bingkas mencuri tumpuan di pasaran global.

Bagaimanapun, terdapat perkembangan menarik yang timbul mengenai CFMoto apabila jenama itu dilaporkan bakal memperkenalkan jentera ‘superbike’ dengan enjin 1000cc tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan menerusi paten enjin yang telah difailkan pada Jun tahun lalu dan hanya baru-baru ini akses kepada maklumat tersebut dibuka kepada orang ramai. 

Paten tersebut mendedahkan  jentera ‘superbike’ itu akan bernadikan enjin 4-silinder dengan konfigurasi V4.  Lebih menarik, dokumen terbabit menyebut enjin V4 itu akan menawarkan 204hp. 

Ada yang mendakwa enjin tersebut dibangunkan daripada jentera prototaip KTM RC16 di MotoGP. Bagaimanapun, penilaian kami selepas melihat paten tersebut, ternyata platform itu langsung tidak menyerupai enjin yang dihasilkan KTM sebelum ini. Malah, paten tersebut difailkan di bawah nama CFMoto semata-mata bukan nama rasmi hasil kerjasama dua belah pihak.

Oleh itu, kami dijangkakan enjin 1000cc dengan konfigurasi V4 ini adalah hasil kerja tangan CFMoto sendiri tanpa sebarang bantuan luar.

Buat masa ini kami difahamkan, enijn V4 itu akan diguna pakai pada dua jenis model, sportbike dan naked. 

Difahamkan, model naked itu juga akan membuat penampilan sulung sekurang-kurangnya lewat tahun ini namun, belum ada sebarang perkembangan mengenai model ‘sportbike’ tersebut. 

Apa yang pasti, kemunculan jentera ‘full-fairing’ dengan enjin 1000cc V4 dari CFMoto itu akan berlaku tidak lama lagi sekaligus memberi saingan kepada jenama motosikal Jepun dan Eropah. 

*QJMotor SRK 1000 RR

Selain CFMoto, satu lagi pengeluar motosikal dari China, QJMotor sedang membangunkan jentera sportbike 1000cc hasil kerjasama dengan MV Agusta. Mengguna pakai enjin dan chasis daripada MV Agusta Brutale 1000 RR, model itu juga dijangka akan dilancarkan sebagai model 2024.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]